Tiba-tiba pula nak tunai janji

Oleh Burn Thevandran 11 May 2020 4038
Tiba-tiba pula nak tunai janji
Los Blancos di bawah bimbingan Zinedine Zidane dilihat sudah mula memikirkan persiapan bagi  musim hadapan. Mana tidaknya, pihak pengurusan di Santiago Bernabeu dikhabarkan sudah memulakan usaha untuk mendapatkan penyerang sensasi Arsenal, Pierre Emerick Aubameyang.

Penyerang berusia 30 tahun itu yang masih relevan untuk sekurang-kurangnya dua atau tiga musim mendatang dilihat merupakan sandaran terbaik buat Real Madrid memandangkan penyerang semasa,  Karim Benzema semakin dimamah usia selain penyerang muda Luka Jovic yang gagal menyerlah. Luka Jovic juga dalam masa sama tercedera sendiri sewaktu melakukan latihan di rumah pada ketika liga sedang berehat kerana Covid-19.

 
Dalam masa sama, pemain antarabangsa Gabon itu juga dilihat begitu teruja dengan minat yang ditunjukkan oleh Real Madrid sehingga tidak semena-mena beliau mengingati kembali satu janji yang telah lama dilupakan. hehe.

Pernah beraksi buat Borussia Dortmund dan kini bersama Arsenal, Aubameyang sendiri mengesahkan bahawa beliau pernah berjanji kepada datuknya bahawa suatu hari nanti beliau akan menyarung jersi pasukan Real Madrid. Kebetulannya, datuknya berasal dari Avila, suatu tempat yang berhampiran dengan Real Madrid.

Malah, sewaktu beraksi dengan Borussia Dortmund, Aubameyang pernah meraikan jaringan dengan melakukan aksi akrobatik yang ditiru daripada seorang bekas lagenda Los Blancos, Hugo Sanchez.

Bekas pemain antarabangsa Mexico, Hugo Sanchez memang diminati oleh Aubameyang yang banyak belajar dari video-video Hugo Sanchez yang ditontonnya. Untuk rekod, Sanchez meraih lima gelaran liga bersama Real Madrid dan meledakkan 208 gol sepanjang tujuh tahun di Santiago Bernabeu.

 

Jadi macam mana ni? Adakah peminat The Gunners akan membantu Aubameyang menunaikan janji kepada datuknya? Atau The Gunners sendiri akan menjadi penghalang memandangkan mereka pastinya tidak rela kehilangan seorang pemain tonggak yang sudah pun meledakkan 49 gol sejak 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen