Kepulangan Syafiq Ahmad ke pangkuan Kedah Darul Aman FC biarpun secara pinjaman ibarat sirih pulang gagang.

Kekurangan minit permainan antara punca penggempur itu tersisih daripada kempen Piala Asia di Qatar, namun ia seharusnya menjadi titik tolak buatnya memacu semula karier antarabangsanya pada usia 29 tahun.

Selepas 38 kali menyarung jersi Harimau Malaya, Syafiq telah merekodkan 10 jaringan.

Dan antara gol menariknya di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Kebolehannya merebut bola di udara pernah memberi igauan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia dalam proses kelayakan tersebut selain hatrik dengan penyudah kaki kanannya ketika membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan.