Negara kita sering digemparkan dengan berita persaraan jaguh dunia Malaysia dan kini tiada peganti yang mampu mengantikan tempat mereka seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Dato Pandalela Rinong, Sazali samad dan lain lain.

Sehingga kini, kita masih belum mampu mencari pengganti yang berkaliber dan hebat seperti mereka.
Adakah program di peringkat akar umbi tidak berjaya sedangkan kita sudah pernah berjaya melahirkan jaguh dunia dalam sukan tersebut.

Apabila perkara ini berlaku, tepuk dada tanya hati, adakah program Talent Identification kita lebih kepada by chance berbanding by plan yang dirangka secara strategik. Perkara ini perlu diperhalusi dengan mendalam dan diambil secara serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

Oleh itu, cadangan penubuhan Fakulti AI yang pertama di Malaysia perlu diaplikasi sepenuhnya bagi menangani isu-isu kritikal sukan negara seperti ketandusan emas Sukan Olimpik pertama dunia, layak ke World Cup FIFA, kemarau Piala Thomas selama 32 tahun, mencari pelari negara yang boleh lakukan bawah 10s dan pelbagai lagi.



Artificial Intelligence (AI) perlu digunakan secara bermanfaat untuk memberi impak tinggi kepada sukan Negara.

Kita tidak boleh lagi menolak arus kemodenan yang begitu tinggi sehingga kita terus ketinggalan semakin jauh ke belakang berbanding negara Asia lain.

Lihat saja negara jiran yang hampir di Malaysia seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, semuanya telah berjaya memperolehi emas pertama Sukan Olimpik.

Justeru itu, kajian-kajian sukan sedia ada di Universiti perlu diangkat dan dibantu oleh pemain industri sukan negara bagi merealisasikan aplikasi AI dalam sukan seperti Machine Learning.

Machine learning telah membuka peluang baru dalam dunia sukan, membantu meningkatkan prestasi atlet melalui pelbagai cara yang inovatif dan kreatif.



Dengan analisis data yang mendalam, teknologi ini membolehkan jurulatih untuk merancang program latihan yang lebih efektif dan disesuaikan untuk setiap atlet, sambil itu juga jurulatih boleh meramal dan mencegah risiko kecederaan berdasarkan pemantauan data prestasi dan tahap fizikal atlet.

Selain itu, machine learning mampu menganalisis strategi, skill dan taktik dari pertandingan sebelumnya, ia boleh mencadangkan saranan seperti kekerapan serangan posisi, pergerakan dalam padang, tempoh masa kawalan bola, yang dapat meningkatkan peluang kemenangan lebih tinggi kepada pasukan.

Dengan kemampuan untuk mengolah dan memproses data biometrik serta analisis video, teknologi artificial intelligence ini dapat memantau kesihatan atlet dan teknik permainan mereka dengan lebih mendalam.

Tambahan pula, simulasi dan ramalan yang dihasilkan oleh machine learning membolehkan jurulatih dan pasukan untuk menguji strategi baru dan membuat ramalan prestasi berdasarkan data statistik yang dicerap oleh artificial intelligence.

Meskipun teknologi ini memberikan banyak manfaat, penting bagi jurulatih dan pasukan untuk menggunakan maklumat ini sebagai alat sokongan untuk membuat keputusan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka.

Kombinasi triangulation model iaitu melibatkan aplikasi teknologi sukan, pengurusan pasukan dan atlet sangat penting pada abad ini seperti penggunaan drone untuk mencerap video latihan sukan dari pandangan aerial.



Aplikasi perisian TensorFlow juga telah membuka peluang baru dalam bidang sukan dengan kemampuannya untuk menganalisis data, video, dan suara.

Di dalam analisis data, TensorFlow membolehkan scouting team untuk mengenalpasti ciri-ciri dan peratusan skill dan teknik yang hampir sama terhadap pergerakan jaguh dunia yang kita sedia ada seperti Dato Azizul Hasni Awang dalam sukan basikal.

Ai mampu membolehkan kita meramal kemampuan atlet muda kita untuk menjadi jaguh dunia Malaysia satu hari nanti.

Kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak UTM, menunjukan aplikasi AI sangat berguna untuk membantu negara mengenalpasti bakat baru dalam sukan seperti mencari peganti Khairul Hafiz Jantan dalam acara 100m. Data yang dihasilkan adalah berdasarkan statistik dan strategi by plan not by chance.

Selain itu, TensorFlow juga sangat berguna untuk meramal prestasi atlet. Dengan mengumpul dan menganalisis data biometrik, latihan, dan faktor-faktor lain, perisian teknologi ini membantu pasukan untuk memahami dan mengoptimumkan prestasi atlet.

Ini memberi jurulatih dan pengurusan pasukan melakukan analisis yang lebih mendalam tentang taktikal yang digunapakai dan membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data statistik.

Selain itu, aplikasi teknologi juga boleh memberikan akses mudah kepada analisis data sukan secara real-time kepada semua pihak yang terlibat.

Dengan menganalisis video secara real-time, ia juga bertujuan membantu jurulatih mengenalpasti kelemahan sedia ada dan segera memperbaiki kelemahan tersebut semasa pertandingan berlangsung bagi memperolehi kemenangan dalam sukan.



Kajian PhD oleh pelajar UTM terhadap Future Ghost Concept dalam latihan sukan melalui aplikasi Virtual Reality Exergames juga membolehkan sistem gamification untuk mengenalpasti tahap kemampuan atlet dari masa ke semasa.

Secara automatik sistem akan masukkan data real best time latihan setiap hari, semasa latihan sukan berlangsung.

Jadi atlet tersebut perlu mengalahkan personal best time diri sendiri melalui Future Ghost Concept ataupun data jaguh sukan dunia yang ada dalam sistem tersebut.

Kajian tersebut adalah merupakan kerjasama merentas bidang iaitu fakulti komputer dan fakulti sains sosial dan kemanusiaan UTM.

Kajian ini lebih bermakna, jika kita boleh access dan simpan data jaguh dunia Malaysia agar menjadi rujukan negara kita untuk National Talent Identification Development dan tidak lagi ketandusan mencari peganti di masa akan datang.

Kesimpulannya, teknologi 5.0 kini memainkan peranan yang semakin penting dalam dunia sukan dari pelbagai aspek, termasuk dalam analisis prestasi sukan, latihan sukan, pencegahan kecederaan dan pemulihan atlet.

Dengan alat seperti sensor, kamera, dan drone, atlet dan jurulatih dapat memperolehi data statistik yang valid and reliable tentang prestasi, potensi, kekuatan, dan kelemahan mereka untuk mencapai kejayaan dalam sukan.



Sarwajagat kini memandang sukan sebagai platform utama meningkatkan ekonomi dunia dan memupuk perpaduan antarabangsa serta meningkatkan pemahaman tentang nilai kemanusiaan seperti empati, simpati, berani, rajin dan kualiti kehidupan.

Akhir kalam, dengan hikmah kita teroka, KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.