Penuh luahan hati di media sosial oleh peminat Manchester United sejurus kekalahan The Red Devils di akhir minit perlawanan berdepan Chelsea dengan keputusan 3-4 baru-baru ini.


Pada masa yang sama, ianya menjadi lebih kecoh apabila bekas bintang Manchester United yang kini bersama kelab Al-Nassr memuat naik satu hantaran di laman X dengan kapsyen 'happy days' menyebabkan ramai peminat Manchester United percaya bahawa Ronaldo sebenarnya sedang mempersendakan Erik Ten Hag.

Walaupun gambar yang digunakan Ronaldo tidak langsung menunjukkan kaitan dengan kekalahan ataupun perlawanan itu, tetapi masa hantaran dimuat naik nyata telah mencetus atau ‘trigger’ ramai pihak lebih-lebih lagi penyokong tegar Manchester United.



Tetapi ada juga reaksi yang menyatakan bahawa ini merupakan propaganda ‘haters’ CR7 yang ingin memburukkan lagi reputasinya kerana hantaran itu sebenarnya dimuat naik sebelum perlawanan tamat ketika anak buah Ten Hag sedang mendahului permainan.


Benar atau tidak, hanya Cristiano Ronaldo saja yang mengetahui erti dan tujuan sebenar hantaran media sosialnya itu kerana ia boleh ditafsirkan kepada pelbagai maksud oleh sesiapa sahaja yang membacanya.

Kini, pasukan kendalian Ten Hag berada di kedudukan keenam liga dengan jurang sembilan mata dari pencabar terdekat, Tottenham menyaksikan mereka harus bekerja keras untuk mengejar dan naik ke tangga kelima jika ingin beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim depan.