Sejak kecil lagi, saya mempunyai persepsi yang sukan badminton di Malaysia ini jarang mengecewakan. Mungkin hasil didikan secara tidak langsung daripada animasi popular Anak-Anak Sidek yang saya tonton hampir setiap minggu -– walaupun pada ketika itu saya tidak tahu lebih lanjut tentang sumbangan figura-figura yang wujud dalam siri tersebut.

Watak Bun yang banyak mendominasi siri animasi tersebut antara yang saya ingati hingga menginjak dewasa. Bertugas pula dalam bidang penyiaran sukan, rasa kagum ke atas Datuk Misbun Sidek kian bertambah apabila sentuhannya sebagai jurulatih cukup luar biasa dalam melahirkan jagoan satu dalam sejuta, Datuk Lee Chong Wei yang juga satu-satunya wakil negara yang menyumbang pingat dalam tiga edisi berturut turut sejak di Beijing 2008.

Walaupun nama Misbun Sidek tidak berada di dalam senarai penyumbang pingat di pentas Olimpik, legasi Sidek tetap membara pastinya menerusi gandingan Razif Sidek dan Jalani Sidek yang menghadiahkan pingat gangsa beregu lelaki kedua Malaysia pada edisi di Barcelona 1992.

Acara beregu lelaki boleh dikatakan menjadi kekuatan kontijen Malaysia sejak dahulu lagi.

Pingat pertama yang berjaya direkodkan Malaysia dalam temasya berprestij itu adalah menerusi gandingan Ng Boon Bee dan Punch Gunalan menerusi edisi di Munich 1972.

Walaupun perlu menunggu sehingga 20 tahun untuk pingat dari Razif dan Jalani, acara beregu lelaki berjaya memperbaiki pencapaian di Atlanta dalam edisi empat tahun kemudian, iaitu menerusi pingat perak tetapi kali ini sumbangan gandingan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock.

Mungkin rata-rata pembaca Stadium Astro tidak mengingati atau mengetahui momen indah yang dilakarkan pada 1996 yang turut menyaksikan seorang lagi legasi Sidek iaitu Rashid Sidek menyumbang pingat gangsa buat kontijen Malaysia.





Namun, seingat saya, tumpuan selepas itu banyak diberikan kepada acara perseorangan lelaki apatah lagi dengan sensasi Chong Wei yang menenggelamkan kehebatan pemangkin dalam acara lain.

Gandingan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem yang mula mencuri perhatian dalam Piala Thomas dan Sukan Komanwel 2014 berjaya mengembalikan minat saya untuk mengikuti perjuangan beregu lelaki dan ternyata dua tahun kemudian pada edisi di Rio 2016, mereka juga berjaya menyertai senarai penyumbang pingat olimpik.

Walaupun Wee Kiong dan V Shem tidak menyambung gemilangnya selepas itu, saya bangga apabila gandingan baru meningkat naik ketika itu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pantas merebut peluang untuk tetap membutirkan pingat buat Malaysia pada edisi di Tokyo – di sebalik ranjau berliku yang perlu diharungi dalam pasca pandemic COVID-19.






Kini dalam debaran untuk pentas olimpik kedua berturut-turut yang disandarkan kepada Aaron dan Wooi Yik di Paris, boleh dilihat barisan pelapis masih giat menimba pengalaman dan menempa nama di luar negara.

Mungkin terlalu awal untuk memuji gandingan Arif Junaidi dan Yap Roy King yang akan beraksi dalam separuh akhir Masters Madrid menentang adik beradik dari Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov pada Sabtu – namun kecemerlangan menumbangkan pilihan kelapan dari India, Arjun dan Kapila Dhruv dalam aksi tiga set yang berlangsung selama kira-kira 1 jam sudah boleh dibanggakan.