Olimpian negara, Zaidatul Husniah atau lebih mesra disapa dengan nama ‘adeq’ masih memegang gelaran ratu pecut negara apabila membolot dua acara individu 100 meter dan 200 meter wanita di Terbuka Johor Super Series 1.


Dalam acara 100 meter wanita akhir, pelari senior itu melakukan catatan masa 11.77 saat untuk menamatkan saingan di tempat pertama diikuti pelari muda meningkat naik, Nur Afrina Batrisyia serta Nurul Faizah Asma yang melengkapkan podium dengan catatan masa 12.49 saat.

Skrip yang sama berlaku untuk acara 200 meter apabila ketiga-tiga pelari ini naik ke podium mengikut turutan yang sama. Zaidatul mencatatkan masa 24.02 saat diikuti Nur Afrina Batrisyia dengan 24.57 saat di tempat kedua dan larian 25.29 saat menerusi Nurul Faizah Asma meletakkannya di kedudukan ketiga.

A post shared by Zaidatul Husniah Bt Zulkifli (@adeqpitcher)



Pelari berusia 31 tahun itu nyata masih mendominasi acara pecut untuk mengakhiri saingan terbuka Johor Super Series 1 dengan 2 emas.

Walaupun hasrat untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter wanita tidak berjaya, adeq tetap gembira kerana kedua dua catatan masa yang dilakukan dalam kejohanan kali ini merupakan ‘season best’ nya untuk tahun 2024.

Ini juga menyaksikan momentum larian Zaidatul untuk musim 2024 semakin baik kerana ada peningkatan dari segi prestasi dalam catatan masa yang dilakukannya berbanding di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers apabila hanya mencatatkan masa 12.01 saat pada aksi final 100 meter Mac lalu.