The Gunners bangkit, Magpies cipta ajaib!

Oleh Burn Thevandran 22 January 2020 372
The Gunners bangkit, Magpies cipta ajaib!
Dua kali ketinggalan, dua kali bangkit! Mikel Arteta pastinya memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan anak-anak buahnya sewaktu berdepan Chelsea di Stamford Bridge. 

Ini kerana Arsenal terpaksa bermain dengan 10 pemain, selepas pemain pertahanan, David Luiz, dilayangkan kad merah seawal minit ke-26. 

Skuad kendalian Frank Lampard itu terlebih dahulu didepan apabila Jorginho menyempurnakan sepakan penalti sebelum larian solo Gabriel Martinelli kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1. 

Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta, kembali meletakkan The Blues di depan, sebelum Hector Bellerin mengecewakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-87.

Chelsea harus menyalahkan diri mereka sendiri apabila ketumpulan jentera serangan terlihat ketara. 

Mereka sekurang-kurangnya mampu meledakkan tiga atau empat gol, namun kesempatan itu gagal disempurnakan jentera serangan. 

Mereka hanya menang empat kali sahaja dalam 12 perlawanan terakhir liga. 

Tiada lagi tanda-tanda akan ada kemasukan pemain baru bagi jendela perpindahan Januari ini dan andai prestasi hambar ini berterusan, kedudukan Lampard mungkin dalam bahaya.

Manakala bagi Arsenal, keputusan seri mengambil kira aksi di laman lawan dan bermain dengan 10 pemain adalah satu bonus buat mereka. 

Bagaimanapun, The Gunners harus segera keluar dari kelompok pertengahan liga dan memanjat tangga enam teratas andai mahu merebut tempat ke saingan Eropah.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Newcastle United bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat Everton dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 2-2. 

Everton cemerlang mendahului hasil jaringan Moise Kean dan Dominic Calvert Lewin. 

Bagaimanapun, keputusan berani Steve Bruce mengeluarkan Joelinton dan memasukkan Fabian Schar dan mengeluarkan Ciaran Clark untuk diganti dengan Florian Lejeune ternyata berbaloi apabila pemain pertahanan yang berasal dari Perancis itu meledakkan dua gol penting dalam masa kecederaan, dalam lingkungan 102 saat yang menceriakan kem Newcastle United.

Steve Bruce, yang mengambil alih tugas jurulatih Newcastle United pada Julai 2019 untuk menggantikan Rafael Benitez, pastinya lega dengan pencapaian The Magpies  yang boleh dikatakan "OK". 

Bagi pengendali Everton, Carlo Ancelotti, pastinya kecewa kerana pemainnya mensia-siakan peluang di laman sendiri selain Everton sekadar menang dua kali dalam lima perlawanan terakhir liga.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen