Piala Dunia 2018 – Selayang Pandang (bhg 5)  

Oleh Shaukei Kahar 21 November 2017 1283
Piala Dunia 2018 – Selayang Pandang (bhg 5)  
Korea Selatan mara ke Russia 2018 untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali ke-10 – satu-satunya pasukan di luar Eropah dan Amerika Selatan yang  tidak pernah terlepas daripada tampil sejak 1986.
 
Barangkali juga pencapaian itu hanya mampu disempurnakan mereka selepas memecat ketua jurulatih dari Jerman, Uli Stielike, untuk digantikan dengan seorang anak tempatan pada pertengahan Jun 2016.
 
Ini berlaku selepas Korea tewas 3-2 kepada Qatar di peringkat kelayakan yang meletakkan peluang skuad Taeguk Warriors itu untuk melayakkan diri dalam keadaan berisiko besar.
 
Dengan Shin Tae-yong mengambil alih teraju pasukan, mereka tidak menoleh ke belakang lagi sejak itu, dengan kemaraan disahkan berikutan keputusan seri 0-0 dengan Uzbekistan di Stadium Pakhtakor pada 5 September lalu, yang meletakkan mereka di tangga kedua di belakang Iran dalam Kumpulan A.
 
ASIA
 
IRAN mengungguli saingan kumpulannya dengan penuh bergaya, dengan skuad yang dibimbing pengurus Portugis, Carlos Queiroz, berkesudahan tanpa sebarang kekalahan dalam 10 perlawanan.

Mereka dapat berbangga memiliki ‘Messi dari Iran’, Sadar Azmoun – pemain berusia 22 tahun yang bermain untuk  Rubin Kazan  dalam Liga Russia -- dalam kesebelasannya.
 
Iran akan membuat penampilan kelima dalam pusingan akhir Piala Dunia.
 
KOREA SELATAN menduduki tangga kedua dalam kumpulannya di belakang Iran untuk meraih kelayakan automatik ke Russia.
 
Skuad Taegeuk Warriors akan membuat penampilan kesembilan berturut-turut dalam pusingan akhir Piala Dunia dan Russia akan menyaksikan kemunculan ke-10 mereka secara keseluruhannya.
 
Mereka telah melakukankejutan pada masa lalu, khususnya kemaraan ke separuh akhir di bawah bimbingan Guus Hiddink ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2002, dengan menewaskan Poland, Portugal, Itali dan Sepanyol dalam laluan ke peringkat berkenaan.
 
Kini di bawah pengendalian Shin Taeyong, 46, bintang pasukan ini tidak syak lagi adalah penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min.
 
JEPUN mengungguli Kumpulan B, kelayakan Asia selepas perebutan sengit dengan Arab Saudi dan Australia.
 
Skuad Samurai Biru ini telah membuat lima penampilan sebelumnya dalam Piala Dunia, dengan kemaraan ke pusingan 16 selaku tuan rumah bersama pada 2002 selaku pencapaiannya yang paling diingati.
 
Di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Bosnia, Vahid Halilhodzic, ketika ini, pemain tonggak mereka adalah Keisuke Honda daripada AC Milan dan bintang  Borussia Dortmund, Shinji Kagawa.  
 
ARAB SAUDI memintas Australia untuk menduduki tangga kedua kumpulannya atas perbezaan jaringan dan akan membuat penampilan kelima dalam pusingan akhir Piala Dunia.
 
Berkedudukan di tangga ke-63 dunia – lebih baik sedikit daripada tuan rumah, Russia – mereka baru-baru ini menggantikan jurulatih dari Belanda, Bert van Marwijk, gara-gara enggan menetap sepenuh masa di Negara Dua Kota Suci itu.
 
Sebaliknya, Arab Saudi kini dibimbing oleh bekas jurulatih Argentina, Edgardo Bauza, dengan menyandarkan harapan besar kepada penyerang veteran, Nasser Al Shamrani, 33.
 
AUSTRALIA yang berkesudahan di tangga ketiga dalam kumpulannya, mara daripada saingan play-off peringkat benua mengatasi Syria, disusuli kemenangan agregat 3-1 ke atas Honduras dalam perlawanan play-off antara benua.
 
Skuad Socceroos akan membuat penampilan kelima dalam pusingan akhir Piala Dunia hasil ketekunan ketua jurulatihnya, Ange Postecoglou, membina semula pasukan sejak mengambil alih pada 2013.
 
Dengan tonggak veteran, Tim Cahill, masih kekal sebagai nadi pasukan, tenaga muda termasuk Mathew Leckie, Mat Ryan dan Trent Sainsbury di samping bintang Huddersfield Town, Aaron Mooy, akan mengimbangi kekuatan pasukan.
 
Berikutan kejayaan menyingkirkan Honduras, Postecoglou menempelak mereka yang meragui keupayaan Australia, dengan berkata: “Saya membaca di dalam akhbar yang menyatakan terdapat 11 kanggaru di atas padang tetapi mereka boleh bermain bola sepak, bukan?”
 
(BERSAMBUNG KE BAHAGIAN AKHIR)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen