Main hebat, sembang pun hebat

Oleh Burn Thevandran 10 February 2020 3288
Main hebat, sembang pun hebat
Bintang Barcelona, Lionel Messi, membuktikan bahawa dirinya sedikit pun tidak terjejas dengan isu berkaitan kelabnya apabila membantu The Catalan bangkit dua kali dan menang 3-2 dalam perlawanan sengit berdepan Real Betis.

Terdahulu, Messi dilihat lantang mengkritik pengarah sukan kelab, Eric Abidal, yang mengeluarkan pendapat bahawa beberapa pemain dalam skuad Barcelona menjadi punca pemecatan bekas pengurus, Ernesto Velverde. 

Eric Abidal, yang juga merupakan bekas pemain Barcelona, secara terbuka memberikan kenyataan tersebut tetapi tidak menyebut nama dengan spesifik.

Messi jelas berang dengan kenyataan itu dan beranggapan pendapat seperti itu tidak memberikan kebaikan kepada pasukan. Lionel Messi yang kini merupakan ketua pasukan juga dilihat melakukan tindakan tepat mempertahankan rakan-rakannya dari terus dipersalahkan.

Tindakan Messi itu disokong bekas bintang Barcelona, Rivaldo, yang percaya Messi mempunyai hak untuk bersuara andai ianya melibatkan pemain di atas padang. Messi merupakan pemain yang amat berpengaruh di Nou Camp dan Rivaldo beranggapan pertelagahan ini harus diselesaikan segera kerana ia hanya akan merugikan Barcelona.

Krisis ini secara tidak langsung menyaksikan bermulalah spekulasi bahawa Messi mahu meninggalkan Barcelona dan sebagainya. Media antarabangsa tidak henti-henti memulakan gosip-gosip liar sehingga ada yang menyatakan Messi mahu bersama bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola.

Bagaimanapun, skuad kendalian Quique Setien itu tampil bersemangat untuk memenangi perlawanan La Liga berdepan Real Betis. 

Lebih menggembirakan, Lionel Messi mencipta hatrik bantuan gol dalam perlawanan yang menyaksikan mereka ketinggalan dua kali. 

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan mereka hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, Real Madrid. 

Untuk rekod, aThe Catalans tewas dua kali dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian Setien.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen