Liverpool Cemerlang, Spurs, United Bergelut  

Oleh Burn Thevandran 6 January 2020 34
Liverpool Cemerlang, Spurs, United Bergelut  
Liverpool yang menurunkan hampir 90% kesebelasan utama berbeza bagi saingan Piala FA mampu menarik nafas lega apabila berjaya menang ke atas  Everton yang menyenaraikan skuad pertama mereka.

Di saat ramai beranggapan mungkin Liverpool tidak mahu memberikan tumpuan kepada Piala FA apabila hanya James Milner, Divock Origi dan Adam Lallana sahaja selaku pemain senior di atas padang,  The Reds tetap meraih kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi Jurgen Klopp, bukan tidak menghormati lawan mahupun Piala FA itu sendiri, tetapi pemain utama seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil Van Djik dan beberapa pemain tonggak lagi memerlukan rehat yang cukup bagi menghadapi saingan liga yang kini penulis percaya menjadi sasaran utama mereka. Masakan tidak, kemarau hampir 30 tahun selepas kali terakhir menjuarai liga pada 1990 dan tahun ini merupakan masa yang paling terbaik untuk mengakhiri kemarau berpanjangan itu.

Liverpool turut menurunkan pemain baru mereka, Takumi Minamino yang mendapat pujian dari Jurgen Klopp dengan mengatakan pemain Jepun itu sebagai hebat dan luar biasa. Namun sama ada Minamino akan tersenarai dalam kesebelasan utama untuk aksi di liga nanti, itu belum diputuskan pengendali dari Jerman itu, kerana selaku pemain di bahagian menyerang, Minamino perlu bekerja keras andai mahu bersaing merebut tempat dengan trio Firmino-Salah-Mane.

Manakala dua pasukan yang sedang dalam krisis prestasi, Manchester United dan Tottenham Hotspur bernasib baik tidak tersingkir selepas sekadar mencatatkan keputusan seri. Bagi Ole Gunnar Solskjaer, keputusan seri tanpa jaringan adalah adil berdasarkan prestasi semasa United yang tidak konsisten, ditambah pula Wolves berada pada prestasi terbaik mereka. Rekod beberapa perlawanan terdahulu juga menunjukkan bahawa United sering kurang bernasib baik apabila berdepan Wolves.Justeru itu, OGS menegaskan beliau lebih rela mengharungi perlawanan timbal balik di Old Trafford nanti daripada tersingkir awal.

Bagi Jose Mourinho, beliau berterima kasih kepada jaringan Lucas Moura yang mengikat kedudukan 1- 1 selepas Tottenham Hotspur ketinggalan 1-0 berdepan pasukan di divisyen dua, Middlesbrough. Andai mereka tewas berdepan Middlesbrough, tekanan pastinya memuncak buat The Special One memandangkan beliau sendiri tidak begitu digemari oleh sebahagian peminat Spurs.

Tottenham Hotspur bakal menerima kunjungan Liverpool hujung minggu ini dan Jose Mourinho tentunya gusar memikirkan persiapan pasukannya kerana Liverpool masih lagi tidak tewas selepas 20 perlawanan liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen