Inilah masanya Kane!

Oleh Burn Thevandran 18 April 2020 1737
Inilah masanya Kane!
Pemain sandaran yang juga merupakan ketua pasukan Totteham Hotspur, Harry Kane akan mengharungi satu fasa paling penting dalam kariernya dimana musim 2019/2020 adalah masa getir yang menentukan hala tuju beliau dalam karier bola sepak.

Dengan usia menjangkau 26 tahun, ini merupakan masa terbaik buat dirinya mengorak langkah sama ada mahu pergi lebih jauh, atau kekal berada di takuk yang sama.

Tolak seketika kepentingan dirinya kepada kelab Tottenham Hotspur, dimana ianya bukan lagi rahsia, tanpa Kane, tiadalah mesin gol buat skuad kendalian Jose Mourinho itu. Namun secara peribadi, penulis merasakan sudah tiba masa buat beliau berhijrah. Tottenham masih pasukan yang hebat tapi bukanlah yang terbaik, sama ada dari segi kewangan mahu pun prestasi kelab, masih jauh lagi buat Spurs mahu mengejar pasukan-pasukan 'agung' di pentas eropah.

Bagi penulis, Kane sudah mula boleh berkira-kira memilih pasukan besar mana yang mampu memberikan dirinya ruang dan peluang untuk menyerlah. Sebagai contoh, jika Kane memilih mahu kekal di Liga Perdana Inggeris, Manchester City mampu menawarkan gaji serba mewah tetapi beliau harus melupakan aksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah akibat penggantungan yang dilalui City. Kemasukannya ke The Citizen juga mampu menjadi pengganti paling sesuai di posisi serangan memandangkan Sergio Aguero sudah semakin berusia.

The Red Devils boleh menjadi salah satu pilihan tetapi Kane dijangka perlu bersaing dengan Marcus Rashford untuk status penyerang utama. Dikhabarkan, perjanjian awal sudah pun dibuat dengan United dijangka memecahkan rekod pemain termahal dunia sekitar 200 juta pound.

Jika diluar England pula, Real Madrid boleh menjadi satu pilihan alternatif buat Kane, memandangkan pasukan itu sedang dibina semula oleh Zinedine Zidane dengan beberapa muka baru seperti Eden Hazard, Vicinius Junior dan Brahim Diaz. Kehadiran Kane boleh menjadi pengganti sesuai buat Karim Benzema yang semakin dimamah usia, selain gosip liar kemasukan Kylian Mbappe ke Los Blancos yang akan menambah sengat jentera serangan mereka.

Bukan lagi menjadi satu rahsia prestasi cemerlang beliau bersama kelab dan negara menyaksikan banyak kelab-kelab utama eropah mahu mendapatkan pemain yang berasal dari London itu. Jose Mourinho pasti sedar dengan situasi ini, dan bukan mudah bagi pengendali itu mahu mempertahankan Kane andai beliau dibeli atau diberikan tawaran oleh pasukan lain memandangkan pihak pengurusan Spurs tentunya tidak akan menolak jika harga yang ditawarkan bertepatan dengan nilai Harry Kane. 

Akan tetapi, jika Kane tidak berhijrah dan kekal bersama Spurs, harus diingat mungkin beliau tidak akan merasai 'keinginan' dari kelab-kelab besar eropah yang mahu mendapatkannya kerana sekarang, beliau berada pada masa yang paling tepat dari segi usia dan prestasi untuk melangkah lebih jauh.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen