FAP bersandiwara?

Oleh Hasnizam Uzir 22 July 2019 17592
FAP bersandiwara?
Ketika penyokong Pulau Pinang masih lagi meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka layak ke saingan Liga Super selepas menewaskan PDRM 2-1 dalam perlawanan terakhir Liga Perdana di tempat lawan, tiba-tiba keraian itu disentap dengan keputusan pemotongan enam mata daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) didapati melanggar perintah yang ditetapkan FIFA untuk melunaskan tunggakan gaji pemain import mereka yang berkhidmat pada musim 2015-2017, iaitu Reinaldo Lobo, yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Ini satu kejutan dan tamparan kepada FAP bagaimana untuk menjelaskan apa yang terjadi kepada jurulatih, pemain-pemain dan peminat Pulau Pinang ketika ini. 

Bukan satu tugas yang mudah kepada FAP untuk memberi penerangan kepada jurulatih dan pemain kerana ini akan mengundang persepsi yang kurang baik kepada badan induk bola sepak negara dalam kalangan peminat-peminat bola sepak tanah air. 

Mengikut kronologi yang dijelaskan oleh FAM, nyata kesalahan ini terletak kepada FAP. Namun, sebagai badan induk bola sepak negara, mereka tampil untuk membantu menyelesaikan kemelut ini tetapi ia tidak berjaya.

Ini satu lagi pengajaran kepada semua pengurusan bola sepak di negara ini, terutama kepada ahli-ahli gabungan FAM serta pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia, supaya lebih serius dan berani mengambil sesuatu risiko untuk tampil dan memberi penjelasan kepada pasukan dan peminat sebagaimana yang terjadi kepada FAP. 

Kesilapan FAP di sini adalah tidak berani menghadapi realiti sebenar apabila bertindak menyembunyikan apa yang terjadi kepada pemain-pemain sebagaimana kenyataan dibuat oleh orang tertentu dalam pengurusan FAP ketika ditemu bual oleh pemberita untuk melihat Pulau Pinang layak ke Piala Malaysia. 

Kenyataan yang dibuatnya seolah-olah mencerminkan bahawa dia tidak mengetahui sebarang tindakan pemotongan mata daripada FIFA itu.

Sementara itu, buat FAM, sekiranya FIFA telah mengeluarkan satu arahan yang jelas, maka FAM perlu juga bertindak pantas dalam mengeluarkan kenyataan supaya ia tidak mengundang spekulasi dan persepsi yang negatif terhadap mereka. 

Sedangkan dalam kes ini, FAM tampil ingin membantu ahli gabungannya dan pada masa yang sama, FAM tahu yang sepatutnya menguruskan masalah ini adalah pengurusan FAP.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen