Dua sejarah penting mahu dilakar Novak Djokovic

Oleh Azlan Mubin 4 February 2020 337
Dua sejarah penting mahu dilakar Novak Djokovic
Tamat sudah saingan Kejohanan Tenis Terbuka Australia, Ahad lalu, yang menyaksikan Novak Djokovic merangkul kejuaraan kelapannya di Melbourne Park selepas pertarungan sengit menewaskan Dominic Thiem 6-4, 4-6, 2-6, 6-3, 6-4.

Aksi final yang berlanjutan hampir empat jam ini, sekali gus menambah koleksi gelaran grand slam ke-17 buat Djokovic.

Kejayaan ini bukan muktamad buat dirinya walaupun kini menjangkau usia 33 tahun pada 22 Mei nanti, sebaliknya Djokovic tetap berazam mahu melakar sejarah buat dirinya di pentas tenis dunia.

Saya cukup tertarik dengan kenyataan Djokovic iaitu ‘masih banyak sejarah sepanjang laluan saya’. Ini menggambarkan bahawa beliau belum puas dengan pencapaiannya ketika ini.

Pemikiran dan semangat sebegini sememangnya ada buat atlet bertaraf dunia.
 
Mungkin sejarah yang mahu dilakar Djokovic pastinya mahu menambah koleksi kejuaraan grand slam kerana dengan 17 kemenangan, kini Djokovic hanya kekurangan dua berbanding Rafael Nadal dan tiga di belakang Roger Federer untuk tersenarai selaku pemain terbaik sepanjang zaman.

Selain itu, kejuaraan dalam Terbuka Australia ini juga melonjakkan Djokovic naik selaku pemain nombor satu dunia, merampas kembali kedudukan Rafael Nadal, yang tewas di peringkat suku akhir kepada Dominic Thiem.
 
Berdasarkan rekod penyandang paling lama kedudukan nombor satu dunia sejak 1973, ia didominasi oleh Roger Faderer selama 310 minggu. Buat Djokovic, beliau kini di kedudukan ketiga dengan 276 minggu.

Jika Djokovic mahukan lagi sejarah baru tercipta buat dirinya bagi meleburkan rekod Federer, Djokovic perlu mengekalkan ranking terbaik dunia ini hingga 5 Oktober 2020.

Bagi saya, jika Djokovic tidak tercapai dua sejarah yang mahu dilakarnya itu, ia sudah tergolong di kalangan terbaik dunia.

Malah, di negaranya sendiri, Djokovic di anggap sebagai ikon dan antara atlet paling terkenal.

Kenyataan ini turut diakui rakan senegaranya, Viktor Troicki, yang juga salah seorang pemain tenis Serbia, bahawa Djokovic menjadi idola ramai termasuklah kanak-kanak yang kini begitu teruja terhadap sukan tenis.

Mereka mahu menjadi seperti Novak Djokovic satu hari nanti. Malah, disebabkan pengaruh Djokovic, pemain tenis tumbuh bak cendawan di Serbia.

Mungkin perkembangan ini adalah motivasi dan semangat buat Djokovic.

Mungkin juga perkembangan ini membuatkan Djokovic berkata ‘perjuanganku belum selesai’.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen