Seriuslah Juventus

Oleh Burn Thevandran 24 June 2019 43637
Seriuslah Juventus
Pemain muda paling popular ketika ini, Matthijs De Ligt, dikhabarkan bakal menyertai Juventus atas persetujuan secara peribadi bersama ejennya dan ini sekali gus menafikan spekulasi dia bakal berhijrah ke pasukan lain seperti Manchester United mahupun Barcelona.

Pada saat khidmat pemain berusia 19 tahun itu dimahukan banyak pihak seperti United, mereka masih belum mengemukakan tawaran rasmi.

Begitu juga Barcelona, tiada tawaran rasmi biarpun telah mengikat rakan sepasukannya, Frankie De Jong, tetapi Juventus dilihat berani mempertaruhkan sejumlah wang yang amat banyak yang tidak mampu ditolak De Ligt.

Laporan media antarabangsa mengatakan Juventus bakal membayar sejumlah hampir RM330 juta sebagai yuran perpindahan selain memenuhi syarat peribadi De Ligt yang mahukan gaji hampir RM11 juta setahun, tidak termasuk bonus.

Andai perpindahan itu menjadi kenyataan, De Ligt bakal menjadi pemain kedua menerima gaji tertinggi di Turin selepas Cristiano Ronaldo.

Dalam masa sama, pengendali baru Juventus, Maurizio Sarri, tentunya gembira andai perpindahan itu menjadi kenyataan. De Ligt bakal menjadi pemain terbaik untuk menggantikan pemain lama seperti Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli mahupun Leonardo Bonucci.

Nama De Ligt mula menjadi sebutan berikutan aksi berkualiti yang dipamerkannya sewaktu mengetuai Ajax mengharungi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Kejayaan Ajax mara ke separuh akhir selain menumbangkan Real Madrid dan Juventus di peringkat kalah mati telah membuka mata banyak pihak untuk mendapatkan khidmatnya.

Segalanya masih belum rasmi lagi mengenai perpindahan itu, sama-sama kita nantikan adakah ia bakal menjadi kenyataan, atau mungkin akan ada kelab lain yang memintas Juventus pada saat-saat akhir dan melakukan kejutan?

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen