Tahniah kerana anda memilih salah satu aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang, terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga dan memiliki anak-anak yang mahu diterapkan dengan nilai-nilai murni dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

Kita seringkali mendengar tentang manfaat sukan yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dikalangan masyarakat. Antara saluran yang digunapakai untuk menyemai agenda ini adalah pembikinan naskhah berkaitan sukan di layar perak.

Dalam ratusan filem dari barat yang diterbitkan atas tujuan ini, The Blind Side (2009) karya John Lee Hancock tidak pernah gagal untuk membuat mata saya berkaca setiap kali menonton filem yang diinspirasikan daripada kisah benar seorang remaja gelandangan kulit hitam berusia 16 tahun, Michael Oher, lakonan Quinton Aaron yang kemudiannya dipertemukan dengan keluarga Tuohy yang berjuang untuk keriernya dalam American Football.



Antara babak yang memberi kesan bagi saya adalah ketika Leigh Anne Tuohy lakonan Sandra Bullock, kena brainwash tentang hasrat mengambil Oher sebagai anak angkat kerana dikhuatiri membawa budaya kurang baik kepada komuniti kulit putih disana. Namun Leigh Anne bukan hanya mempertahankannya, malah memberi pelajaran baru kepada rakan-rakannya yang berfikiran sempit.

Beth: You’re changing that boy’s life.
Leigh Anne: No, he’s changing mine.

Suaminya Sean Tuohy juga menyokong kuat keputusan ini – malah dua anaknya, Collins Tuohy dan Sean Jr Tuohy juga melakukan perkara sama ketika berada di sekolah selain mengingatkan kita erti sebenar kekeluargaan dan perikemanusiaan itu. Cuma rasanya, sedikit penerangan perlu diberikan kepada anak-anak anda terutama membabitkan babak kurang baik seperti ibu Oher yang juga penagih dadah.

Di sebalik kisah magis yang digarap penuh emosi, kisah sebelum Aaron mendapat peranan utama dalam filem The Blind Side ini turut menyuntik inspirasi. Ketika cuba mencari peluang untuk mengejar cita-citanya sebagai pelakon, Aaron terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana saiz badannya yang besar. Selepas banyak kali kecewa dalam sesi ujibakat, Aaron bertindak meninggalkan kad namanya sewaktu ujibakat dalam filem ini – sekurang-kurangnya dia boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan disitu walaupun tidak terpilih sebagai pelakon.

Kesan positif hampir sama dalam garapan dari sudut sukan boleh ditemui pada filem The Greatest Game Ever Played (2005), berkisah tentang Francis Ouimet, lakonan Shia LaBeouf, seorang imigran yang berasal dari keluarga dengan status ekonomi sederhana, tetapi mencintai sukan golf yang pada ketika itu hanya untuk golongan elit dan bangsawan.

Jadi, Ouimet menjadi mangsa cemuhan, diperlekeh dan dipandang enteng kerana hasratnya dianggap sesuatu yang taboo bagi golongan kelas bawahan – apatah lagi bila Ouimet sudah mula menunjukkan taring.

Namun cabaran terbesar bagi Ouimet adalah bagaimana dia mahu mengharungi segala cabaran untuk menggapai cita-citanya ini apabila dia turut ditentang oleh keluarganya sendiri.



Dan senarai filem ‘sukan yang dah banyak kali tonton pun tak jemu’ berterusan. Apakata, anda pula kongsikan filem sukan wajib ditonton di ruangan komen.