Atlet merujuk kepada individu yang terlibat dalam sukan secara profesional atau amatur. Mereka terlatih dalam sukan tertentu dan sering bertanding dalam acara sukan untuk mencapai prestasi terbaik. Contohnya, pemain bola sepak, pelari, perenang, pesilat dan lain lain. Atlet sukan juga perlu di anggap sebagai seorang pekerja kerana mereka juga mempunyai gaji bulanan. Mereka memiliki kontrak dengan pasukan atau organisasi sukan, yang menetapkan tanggungjawab dan ganjaran hasil aktiviti pertandingan sukan. Ramai atlet yang berkorban masa, wang dan tenaga dengan memilih untuk menjadi pekerja sepenuh masa demi mencapai kemuncak prestasi dan kejayaan Negara.

Sebahagian daripada pekerjaan mereka, atlet perlu menjalani latihan yang intensif, mematuhi jadual pertandingan, dan menjaga keadaan fizikal yang optimum. Mereka juga boleh mendapat pendapatan dari penaja, penampilan awam, dan penjualan barangan, yang semuanya merupakan aspek pekerjaan mereka. Atlet juga perlu mematuhi kontrak pekerjaan yang telah dimeterai bersama pasukan. Namun begitu, golongan atlet jarang mendapat pengiktirafan hari pekerja kerana mempunyai kareer yang unik dan berbeza. Kareer sebagai seorang atlet akan bertahan 30 sehingga 40an sahaja atas faktor usia. Pengorbanan seorang atlet sehingga 30 tahun menjaga pantang seperti jaga tidur, jaga makan, displin latihan demi sebuah prestasi sukan, justeru itu, mereka layak di gelar pekerja harapan Negara.

Jurulatih pula merujuk kepada individu yang bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing atlet atau pasukan dalam sesuatu sukan. Tugas utama seorang jurulatih adalah untuk membangunkan kemahiran fizikal, teknikal, taktikal, dan mental atlet atau pasukan di bawah bimbingannya. Mereka membantu atlet atau pasukan mencapai prestasi terbaik dengan menyusun latihan, memberikan arahan dan nasihat, merancang strategi, dan memberikan sokongan emosi. Seorang jurulatih biasanya memiliki pengetahuan yang luas tentang sukan yang mereka latih, serta pengalaman dalam membimbing atlet atau pasukan menuju kecemerlangan.
Jurulatih juga boleh dianggap sebagai seorang pekerja. Mereka biasanya mempunyai kontrak dengan organisasi sukan, pasukan, atau individu-atlet yang mereka latih. Sebagai pekerja, mereka bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing atlet atau pasukan mereka dengan tujuan mencapai prestasi terbaik. Mereka juga mungkin menerima ganjaran atau gaji atas kerja mereka, bergantung kepada perjanjian yang mereka ada dengan pihak yang mereka berkhidmat. Kerjaya seorang jurulatih juga berisiko tinggi, apabila menang mereka di sanjung tinggi, jika kalah kontrak mereka tidak akan disambung lagi. Oleh itu, mereka juga layak diraikan sebagai seorang pekerja dan hero yang tak didendang.

Manakala pengurus pasukan pula adalah individu yang bertanggungjawab untuk menguruskan urusan administratif, logistik, dan organisasi pasukan sukan. Tugas-tugas mereka termasuk menyusun jadual perlawanan, mengurus perjalanan, menguruskan peralatan, dan menjaga kesejahteraan keseluruhan pasukan. Mereka bekerjasama dengan jurulatih untuk memastikan pasukan berfungsi dengan lancar di luar padang atau gelanggang. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab untuk berkomunikasi dengan pihak lain seperti badan induk sukan, penaja, dan media. Dalam pasukan profesional, pengurus pasukan juga bertanggungjawab untuk urusan kewangan dan kontrak pemain. Tanggungjawab seorang pengurus pasukan amat berat bagi seorang pekerja, kerana kantung dan kelestarian kewangan pasukan berada di atas bahu mereka.

Oleh itu, dalam industri sukan Malaysia, perlindungan undang-undang terhadap pekerja, termasuk atlet dan jurulatih di gunapakai, ia merupakan aspek penting dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara. Akta Kerja 1955, sebagai contoh, menyediakan garis panduan mengenai kontrak kerja, gaji minimum, dan cuti yang relevan bagi pekerja sukan. Bagi atlet profesional, kontrak dengan pasukan atau organisasi sukan adalah landasan utama, yang mana undang-undang kontrak dan buruh memainkan peranan penting dalam memastikan hak dan tanggungjawab mereka di jaga dengan sewajarnya. Sebagai contoh kerjaya seorang atlet berisiko tinggi menghadapi kecederaan sukan kerana terdedah dengan aktiviti fizikal berintensiti tinggi.
Selain itu, undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerja juga memainkan peranan yang penting dalam sukan. Ini termasuk undang-undang yang mengatur keselamatan semasa latihan dan pertandingan, serta memberikan panduan untuk pengurusan risiko dan kecemasan di tempat kerja sukan. Dengan pematuhan yang betul terhadap undang-undang ini, industri sukan Malaysia dapat memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi semua yang terlibat dalam dunia sukan, menjadikan prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan lebih bermakna dan berkesan. Justeru itu, keselamatan fasiliti dan infrastruktur sukan harus dijaga seperti padang yang baik, ini kerana World class FASILITI sukan akan menghasilkan World class ATLET.

Secara tuntasnya, penggiat sukan sentiasa perlu konsisten dalam latihan kerana ia adalah aspek yang sangat penting dalam mencapai kejayaan. Dengan menetapkan matlamat yang realistik, penggiat sukan dapat memacu motivasi dan fokus untuk menuju kecemerlangan. Hubungan yang baik dengan jurulatih dan rakan sepasukan serta sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan komuniti sukan dapat memberi semangat yang di perlukan untuk menghadapi cabaran dalam bidang sukan. Disiplin dan komitmen juga penting, sementara menjaga keseimbangan kepentingan antara pendidikan dan latihan sukan akan memastikan KESEIMBANGAN dalam kehidupan mereka dan kejayaan sukan negara. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka.

SELAMAT HARI PEKERJA BUAT SEMUA.

Disediakan oleh Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip, Pengarah Pusat Inovasi Dan Teknologi Sukan Universiti Teknologi Malaysia