United perlu mentaliti kemenangan

Oleh Dayang Zainatull 17 December 2018 630
United perlu mentaliti kemenangan
Aksi menentang Liverpool di Anfield cukup membuktikan jurang ketara yang dimiliki The Red Devils berbanding pasukan The Reds. 

Liverpool menang mudah 3-1 hasil jaringan Sadio Mane dan Xherdan Shaqiri namun apa yang lebih menarik perhatian Dayang adalah bagaimana United bergelut untuk memegang bola dan menguasai perlawanan seolah-olah mereka diajar bermain bola sepak oleh pemain-pemain Liverpool.

Dayang percaya ini bukan kesebelasan terbaik yang dimiliki Jose Mourinho namun kemelut ini seakan tiada kesudahannya. Apa yang Dayang perhatikan,  sesetengah pemain beraksi sangat baik dalam satu perlawanan, namun perlawanan berikutnya gagal bermain dengan baik. Ada pula pemain yang beraksi baik secara konsisten tetapi diletakkan di bangku simpanan. Malah, ada pemain yang beraksi biasa sahaja, tetapi berada dalam kesebelasan utama.

Sampai bila masalah mengekalkan momentum kemenangan akan menghantui kem United? United kini tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu pemain-pemain cukup terkenal dengan mentaliti kemenangan, tetapi kini tidak lagi. Seolah-olah ada virus yang cuba menghancurkan United dari dalam. 

Adakah pemain-pemain sedang mensabotaj Mourinho?  Atau taktikal pengendali dari Portugal itu sudah boleh dibaca dan tidak lagi relevan?

Ada segelintir peminat yang mahukan Mourinho dipecat memandangkan rekodnya lebih buruk daripada David Moyes. Beberapa bekas pemain juga melahirkan pendapat serupa apabila beranggapan "The Special One" bukanlah individu tepat yang mampu membawa United kembali ke mercu kejayaan.

Bagi Dayang pula, berdasarkan situasi semasa, apa yang penting kini adalah menamatkan saingan liga dikelompok empat terbaik, selain memberikan 100% dalam aksi liga juara-juara Eropah. Namun untuk melakukan semua itu, United harus mengakhiri setiap perlawanan dengan kemenangan dan tidak tewas.

United juga perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri agar tiga mata sentiasa dipungut, bagi memaksimumkan pungutan mata. Dayang percaya ramai peminat United berasa kecewa apabila melihat Manchester City, Chelsea, Liverpool, Arsenal malah Tottenham Hotspur kini berada pada kedudukan yang lebih baik di liga.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen