UCL penyelamat Zidane, Real Madrid

Oleh Ammar Hakim 24 February 2018 4334
UCL penyelamat Zidane, Real Madrid
Cabaran untuk mempertahankan gelaran LaLiga sudah terkubur buat Real Madrid tetapi Zinedine Zidane masih lagi berpeluang untuk menyelamatkan kariernya menerusi saingan Liga Juara-Juara (UCL). Persoalannya, adakah ia memadai?
 
Real Madrid mencipta kemenangan 3-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama pusingan kedua sebelum merekodkan rentetan kemenangan dalam saingan LaLiga ke atas Real Betis (5-3) dan Leganes (3-1)..
 
Kemenangan ini semestinya meningkatkan moral pemain-pemain menjelang aksi timbal balik berdepan
PSG di Parc des Princes pada 7 Mac nanti.
 
Pemenang dua kali berturut-turut -- menjadi pasukan pertama untuk mempertahankan kejuaraan UCL sejak format baru digunakan bermula 1992 -- ia adalah jalan terakhir buat Zidane menyelamatkan kariernya untuk terus mengemudi Los Blancos.
 
Buat Real, semusim tanpa sebarang trofi adalah jalan keluar buat setiap pengurus yang mengendalikan pasukan ini.
 
Sejak mengambil alih tugas Rafael Benitez pada Januari 2016, Zidane berjaya menyatukan pemain untuk meraih kejayaan demi kejayaan sepanjang dua musim ini, merangkul dua gelaran utama (LaLiga dan UCL bagi musim 2016-17) sebagai pencapaian terbaiknya.
 
Bagaimanapun, segalanya berubah pada permulaan musim ini, beberapa pemain berkualiti yang meninggalkan kelab (Pepe, Alvaro Morata dan Mariano Diaz) bagi mendapatkan lebih banyak masa beraksi, di samping kecederaan yang menghimpit pasukan memberikan impak yang besar kepada mereka.
 
Selepas 24 perlawanan, mereka hanya mencipta 14 kemenangan, enam seri dan empat kalah untuk menghuni tangga ketiga -- ketinggalan 14 mata kepada pendahulu, Barcelona. 
 
Aksi yang berbeza ditampilkan oleh anak buah Zidane dalam saingan UCL -- berjaya mencipta jaringan – dengan Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama meledak gol dalam setiap perlawanan dalam peringkat kumpulan.
 
Real mempamerkan persembahan yang berkualiti dan membuktikan mereka adalah pencabar utama dalam saingan tersebut.
 
Dengan tiket ke suku akhir hampir pasti buat mereka, Real perlu terus berwaspada dengan pencabar utama saingan -- Bayern Munich, Manchester City, Liverpool dan Barcelona/Chelsea mampu menyekat mereka, sekali gus meranapkan impian Zidane untuk terus kekal di Santiago Bernabeu.
 
Di sebalik halangan ini, Real tetap memiliki kelebihan daripada segi pengalaman serta kualiti pemain-pemain yang mampu mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan yang penting.
 
Masa untuk buktikan mereka dalam kalangan yang terbaik.
 
"Heroes get remembered, but legends never die" -- Babe Ruth.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen