Toleh mengenang tragedi pandang kepada kebangkitan

Oleh Shahrazad Sani 14 June 2018 852
Toleh mengenang tragedi pandang kepada kebangkitan
Terlalu dramatik mungkin untuk menggambarkan apa yang sedang dilalui perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sebagai satu tragedi.

Tetapi mengenali Iskandar secara peribadi, dia akan menganggap skandal disiplin membabitkan insiden merokok sewaktu kempen Piala Thomas 2018 ini sebagai sesuatu yang teramat mengecewakan.

"Salah tetap salah," ujar Iskandar sewaktu perkongsian hati ke hati dia untuk memulakan perjalanan mengembalikan keyakinan Malaysia terhadap dia.

Hampir setiap hari saya melihat dia berlatih, tidak pernah terbit keraguan terhadap kemahuan dia untuk mendukung segala aspirasi yang melambangkan Jalur Gemilang di dada.

Untuk akur dengan kesilapan secara tulus ikhlas bukan mudah, tetapi itu pendekatan Iskandar yang bakal menjalani pemulihan ke atas tabiat yang sepatutnya tidak perlu didampingi atlit berprestasi tinggi.

Daripada terus kecewa atau kekal dengan sentimen menghukum saya lebih mahu menawarkan sandaran sokongan kepada Iskandar.

Sama ada anda sedar atau tidak, dia adalah penghubung terakhir di antara sang veteran, Datuk Lee Chong Wei, dan bakat masa depan seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Sudah-sudah lah tu, Michael Jordan pun tegar menghisap curut waktu masih aktif bersama Chicago Bulls.

Saya percaya ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, akan menjadi individu pertama menggugur dia daripada program negara jika benar, tabiat ini menjejaskan disiplin dan prestasi sewaktu latihan pusat.

Tepat benar ketibaan sinar Syawal Aidilfitri untuk semua bermuhasabah diri dalam meraikan kemenangan atau cabaran tersendiri.

Adinda Iskandar, usah berputus asa, Malaysia di belakang mu, toleh mengenang tragedi untuk seketika, waktu sudah tiba untuk cipta kebangkitan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen