Tite insomnia

Oleh Dayang Zainatull 3 July 2019 231
Tite insomnia
Pengendali Brazil, Tite, ternyata resah dan gelisah menjelang pertemuan separuh akhir berdepan seteru utama di Copa Amerika 2019, Argentina. Brazil mara ke separuh akhir selepas menewaskan Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3 manakala Argentina mudah mengetepikan cabaran Venezuela 2-0.

The Selecao dilihat berada pada prestasi terbaik dan biarpun tidak bermain ala samba, kekuatan bermain secara berpasukan dilihat akan menjadi tujang utama mereka. Manakala skuad kendalian Lionel Scaloni pastinya sedar kelebihan yang mereka miliki menerusi pemain individu seperti Lionel Messi dan Sergio Aguero.

Tite yang mengisi kekosongan ketua jurulatih Brazil pada 2016 berkata, beliau begitu merasai tekanan pada perlawanan separuh akhir ini. Sehinggakan beliau sendiri mengakui kepada media bahawa tidurnya tidak cukup lena memikirkan apa yang harus dilakukan sewaktu berdepan lawannya itu.

Untuk rekod, lima perlawanan terakhir mereka sejak 2014, Brazil menang tiga kali, kalah sekali dan seri sekali dan jika itu menjadi rujukan, di atas kertas sudah tentu Brazil yang menjadi pilihan utama. Namun harus diingat, skuad Brazil masa kini sudah jauh berbeza dengan yang dahulu. Mereka berdepan kritikan demi kritikan terutama sekali selepas dibelasah Jerman pada Piala Dunia 2014.  Kegagalan meraih kejuaraan utama sejak sedekad ini begitu menggusarkan peminat Brazil dan hal ini juga yang Dayang percaya dirasai Tite.

Kegagalan menewaskan Argentina secara tidak langsung akan menafikan Brazil untuk meraih kejuaraan Copa Amerika, selain meneruskan nasib malang The Selecao yang sudah lama tidak menjulang piala.

Adakah Belo Horizonte akan menjadi saksi Brazil menang ke atas Argentina? Atau venue itu akan terus menghantui Brazil sama seperti pada 2014 dengan kekalahan besar 1-7 kepada Jerman. Sama-sama kita nantikan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen