The Citizens terus bernafsu!

Oleh Dayang Zainatull 14 May 2019 787
The Citizens terus bernafsu!
Kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ternyata menggembirakan pemilik Manchester City apabila kelab itu diberikan dana RM 1.1 bilion untuk memperkuatkan pasukan mereka bagi saingan akan datang.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tentunya gembira dengan dana yang diberikan kerana beliau sendiri mempunyai beberapa pemain yang menjadi sasaran untuk dibeli bagi menambah baik pasukannya.

Dikhabarkan Guardiola mahu mendapatkan dua pemain baru bagi mengisi kekosongan di bahagian pertahanan. Ini kerana beberapa pemain seperti Nicolas Otamendi, Fabian Delph dan Eliaqium Mangala djangka akan meninggalkan kelab.

Pemain pertahanan seperti Matthijs De Ligt dan Harry  Maguire akan menjadi sasaran Guardiola dan beliau sedar yang City terpaksa bersaing dengan pasukan lain seperti Barcelona yang turut berminat mendapatkan De Ligt.

Di bahagian tengah pula, kudrat Fernandinho yang sudah menjangkau usia 34 tahun mungkin  sudah tidak lagi relevan dan Guardiola dikatakan bakal membeli Rodrigo Hernandez, pemain berusia 22 tahun yang beraksi buat Atletico Madrid. Satu lagi pemain tengah sasaran pengendali dari Sepanyol itu ialah Joao Felix yang baru berusia 19 tahun.

Dengan Sergio Aguero semakin dimamah usia, Guardiola mahu mendapatkan satu pemain penyerang baru dengan Luka Jovic yang baru berusia 21 tahun dijangka akan menjadi pilihan utama untuk pembelian.

Di saat pasukan lain belum pun mengorak langkah untuk melakukan pembelian pemain baru, City tanpa lengah terus berusaha memperkuatkan pasukan mereka dan ini adalah sesuatu yang harus ada kepada pasukan yang bergelar juara.

Diharapkan pasukan pencabar lain seperti Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea dan Arsenal juga akan melakukan pembelian pemain agar terus memberikan saingan kepada The Citizens dalam saingan liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen