Tamparan Buat Ah Hoe

Oleh Dayang Zainatull 21 March 2019 4795
Tamparan Buat Ah Hoe
Jika berjaya mencipta kemenangan dan kejayaan, pemain lah yang akan dijulang dan dibanggakan. Namun jika sebaliknya berlaku, sudah tentu individu yang memegang jawatan jurulatih akan dipertanggungjawabkan.

 Itulah lumrah dalam bola sepak.

Terbaru, skuad Harimau Malaya tewas ditangan pasukan jiran, Singapura yang sekaligus merencatkan pelan jangka panjang untuk menaikkan ranking FIFA pasukan negara kerana ini adalah perlawanan kelas A. Lebih mengecewakan, persembahan yang dipamerkan nampak begitu tidak meyakinkan dan kita bernasib baik hanya tewas dengan jaringan satu gol.

Dayang sebenarnya sedikit terkesan apabila kita tewas kepada pasukan Singapura. Sifirnya mudah, kita dah kalah dari banyak segi dengan pasukan jiran. Dari segi ekonomi, kemajuan, mentaliti rakyat dan bola sepak mungkin adalah satu-satunya peluang untuk kita menang dengan mereka, tapi tetap kita tewas. 

Jika dahulu, standard liga kita adalah di atas dari liga Singapura, adakah kini masih sama? Atau kita yang semakin terkebelakang sebenarnya tanpa kita sedari?

Lihat sahaja persembahan perlawanan malam tadi, kualiti pemain dapat dilihat perbezaannya dengan ketara. Sebagai contoh, Harris Harun yang beraksi selaku pemain tengah bertahan, dengan bersahaja mematahkan gerakan gandingan Azam Azih, Akram Mahinan dan Halim Saari.  Gandingan pertahanan tengah Irfan Zakaria dan Shahrul Saad, seperti ada masalah komunikasi apabila kerap kali salah faham.

Peluang terbaik negara hadir menerusi sepakan percuma yang diperoleh di hadapan gawang pihak lawan. Ada 2-3 kali peluang dengan situasi bola mati namun semuanya disia-siakan dengan tiada satu pun percubaan tepat ke gawang gol. Bagi pemain naturalisasi pula, persembahan yang dipamerkan hampir sama sahaja kualitinya dengan pemain tempatan, mungkin lebih baik andai Hadin Azman yang diberikan peluang dalam kesebelasan utama.

Walaubagaimanapun ceritanya, Malaysia sudah pun tewas kepada Singapura. Mungkin ada hikmahnya tewas, atau mungkin kita selaku tuan rumah akan dibelasah oleh Oman dalam perlawanan kedua nanti?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen