Talian hayat terakhir Messi

Oleh Ammar Hakim 30 June 2019 1169
Talian hayat terakhir Messi
Setiap pelosok dunia mengetahui Lionel Messi merupakan salah seorang pemain bola sepak terbaik planet ini. Dia menamatkan musim 2018-19 dengan merekodkan 36 gol serta 13 bantuan jaringan ketika menjuarai gelaran LaLiga, namun tewas kepada Liverpool dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Malangnya, rekodnya bersama skuad kebangsaan, Messi gagal mencapai tahap yang sama ketika beraksi untuk Barcelona. Dia telah memimpin Argentina ke empat final, namun tewas keempat-empat aksi penentu itu dan mungkin terpaksa menghadapi satu lagi kekecewaan dalam saingan Copa America.

Argentina mengalami permulaan yang buruk, tewas kepada Colombia dengan dua jaringan tanpa balas. Mereka turut gagal mengatasi Paraguay dalam aksi kedua, namun bernasib baik ketika berdepan pasukan jemputan, Qatar untuk melangkah ke suku akhir.

Di sebalik melangkah ke peringkat kalah mati, Argentina masih lagi tidak dilihat sebagai pilihan untuk bergelar juara. 
Messi turut gagal menghasilkan sebarang gol  atau bantuan jaringan ketika mengatasi Venezuela 2-0 dalam suku akhir. Bagaimanapun, sebarang penyingkiran daripada Copa America pasti akan memberikan impak kepada kariernya. 

Tiada siapa yang mampu menyangkal kualiti Messi sebagai seorang pemain -- dia telah menempa satu lagi musim yang cemerlang bersama Barcelona, dan tiada pemain yang berjaya menghampiri rekod yang dilakukannya musim ini. Bagaimanapun, kualitinya sebagai pemimpin sering kali menjadi persoalan.

Barcelona gagal menjulang sebarang gelaran UCL sejak mereka melantik Messi sebagai kapten sejak tahun lalu. Mereka tewas kepada AS Roma dan Liverpool bagi musim 2017/18 dan 2018/19 di peringkat kalah mati.

Skuad Blaugrana itu tersingkir dalam aksi timbal balik selepas memiliki kelebihan jaringan yang besar ke atas lawan. 
Skuad kebangsaan Argentina turut menerima nasib yang sama sejak Messi mengetuai pasukan sejak 2011.

Messi memimpin Argentina ke aksi final Copa America dua kali selaku kapten, namun mereka tewas kedua-duanya kepada Chile – bukti lanjut dia gagal menjadi suntikan semangat kepada pasukan ketika saat genting.

Bintang Barcelona itu turut gagal menjuarai Piala Dunia 2014 selepas tumpas 1-0 kepada Jerman di Stadium Maracana, Brazil. 
Kegagalannya, jika berulang kali ini, sekadar akan memburukkan lagi reputasinya sebagai kapten.

Tahun ini juga merupakan peluang terbaiknya merangkul gelaran Ballon d'Or yang keenam. 
Penjaring terbanyak dalam saingan UCL dan LaLiga, Cristiano Ronaldo, gagal untuk merapati bilangan jaringan yang diledak sepanjang musim selepas berhijrah ke Juventus. 
Malangnya, semua orang menyedari bahawa Virgil van Dijk bakal menjadi ancaman terbesar Messi dalam persaingan kali ini.

Pemain kelahiran Belanda itu telah memahat reputasi sebagai pertahanan terbaik Eropah selepas Liverpool menjuarai UCL. Van Dijk turut mengetuai skuad kendalian Ronald Koeman ke aksi final Liga Negara-Negara UEFA sebelum tunduk kepada Portugal.

Tiada pemain yang berjaya melepasi pemain berusia 27 tahun itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan UCL. 
Jadi, Messi tiada pilihan kecuali menjuarai Copa America jika mahu mengatasi bintang Liverpool itu dalam perebutan Ballon d'Or.

Bagaimanapun, Messi perlu mengerah segala keringat jika mahu bergelar juara Copa -- persembahan di peringkat kumpulan mencadangkan keajaiban amat diperlukan pemain berusia 32 tahun itu.

Perdebatan melibatkan Messi-Ronaldo tidak menampakkan sebarang pengenduran. Kedua-dua pemain menjuarai lima gelaran Ballon d'Or dan masing-masing memiliki kelebihan serta kekurangan. Namun, musim ini memperlihatkan Messi jauh mendahului Ronaldo.

Jika gagal menjuarai Copa, Ronaldo akan terus dilihat sebagai pemain yang berjaya di peringkat kelab dan antarabangsa -- kapten Portugal berusia 34 tahun itu sekurang-kurangnya sudah memiliki satu gelaran di peringkat antarabangsa apabila menjuarai edisi sulung Liga Negara-Negara UEFA.

Ramai yang menganggap Messi sebagai pemain terbaik dunia walaupun tanpa sebarang gelaran peringkat antarabangsa.

Mencecah usia 32 tahun Isnin lalu – hari Argentina menundukkan Qatar 2-0 untuk menempah slot suku akhir Copa -- masa Messi semakin suntuk dalam saingan antarabangsa. 
Memenangi Copa America 2019 adalah tiket terakhir untuk dia keluar daripada bayang-bayang Ronaldo.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen