Sukan Komanwel Bayu Laut

Oleh Akbar Sahari 4 April 2018 573
Sukan Komanwel Bayu Laut
GOLD COAST -- Ini kali kedua saya diberi peluang membuat liputan temasya Sukan Komanwel selepas Glasgow pada 2014 dengan kedua-duanya bersama Astro Arena.  Ia melengkapkan impian untuk meliput temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik ini di benua berbeza. 

Edisi kali ini berbeza daripada Glasgow dalam banyak perkara. Ia disebabkan kedudukan geografi Gold Coast di tepi pantai yang terkenal dengan aktiviti meluncur ombak. Perbezaan paling ketara ialah tema dan suasana menerapkan unsur-unsur laut dan pantai di setiap poster, kain pemidang,  malah lanyard petugas media dan juga penghadang jalanraya.





Masyarakat di Gold Coast dan juga pelancong selesa tampil santai seperti di pulau peranginan ketika beratur membeli tiket acara dan ketika mengunjungi pusat jualan cenderahati Gold Coast 2018. 

Kesempatan saya meninjau sesi raptai penuh upacara pembukaan temasya di Stadium Carrara menyerlahkan lagi tema berunsurkan hidupan laut, flora dan fauna.  Sehinggakan diwujudkan segmen suasana pesta pantai lengkap dengan replika ikan paus gergasi terbang di udara. 

Tidak dinafikan kerajaan Australia berbelanja besar demi memastikan mereka mampu menampilkan temasya Komanwel terbaik berbanding negara-negara lain. Dan mereka terbukti berjaya apabila bukan sekali dua, malah sudah lima kali negara Kanggaru ini berjaya menganjurkan Sukan Komanwel. 

Dijangka ratusan ribu peminat sukan seluruh dunia akan membanjiri Gold Coast sepanjang temasya berlangsung. Dengan persiapan rapi serta kemudahan serba canggih dan mesra pengguna,  Australia akan sekali lagi diangkat sebagai antara penganjur terbaik. 

Untuk saya, pengalaman ini akan dimanfaatkan sepenuhnya. Namun dalam suasana sibuk, saya cuba mencuri masa untuk menikmati keindahan pantai terkenal, iaitu Surfer’s Paradise. Sememangnya ia seperti diceritakan, pasir memutih, ombak menjulang, langit membiru berlatar belakangkan bangunan pencakar langit.





Natijahnya, saya sudah tidak sabar untuk melihat apa lagi mahu ditonjolkan Gold Coast sepanjang temasya kali ini.  Dan apakah magis bakal ditampilkan atlet-atlet negara.. Apa yang pasti, kami di saluran Astro Arena akan cuba memberikan liputan terbaik untuk semua peminat sukan negara!

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara dalam Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen