Son terdesak buru gemilang Sukan Asia     

Oleh Shaiful Shamsudin 28 April 2018 7839
Son terdesak buru gemilang Sukan Asia     
Korea Selatan terpaksa membuat rayuan kepada Tottenham Hotspur sekiranya berhasrat menggunakan khidmat ayam tambatan, Son Heung-min, dalam Sukan Asia Jakart -Palembang, Ogos depan. 
 
Persatuan Bolasepak Korea (KFA) tidak boleh sewenang-wenangnya menyenaraikan Son kerana kejohanan itu tidak tertakluk dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 
 
Dengan reputasi 26 gol musim ini, rayuan itu perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya oleh Spurs kerana penggempur itu bakal menempuh fasa sibuk. 
 
Tiada istilah percutian buat pemain itu yang bakal terlepas awal kempen Liga Perdana Inggeris (seandainya Spurs memberi lampu hijau kepada KFA) di stadium baru nanti, lebih-lebih lagi selepas kepenatan mengharungi kempen Piala Dunia Russia, musim panas nanti. 
 
Bagi Son dan majikannya itu, Sukan Asia juga harus menjadi keutamaan atas kewajipan menjalani khidmat negara. 
 
Justeru, mahu atau tidak, kelab Inggeris itu perlu membuat pertimbangan wajar terhadap aset berharga mereka itu kerana risiko kehilangan Son di kemuncak prestasi.
 
Mana-mana rakyat Korea diwajibkan menjalani khidmat negara selama 21 bulan sebelum usia mereka menjangkau 28 tahun, namun mereka boleh dikecualikan sekiranya menjuarai Sukan Asia atau Sukan Olimpik. 
 
Maka, tidak hairanlah kalau Son, 25, melihat Sukan Asia -- boleh menamakan tiga pemain lebih umur 23 tahun -- sebagai platform terbaik untuknya mengelak khidmat negara atau terpaksa menghitung nasib dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020. 
 
Atas alasan yang sama, pernah juga ada pemain Korea yang sanggup menukar kerakyatan, seperti bekas pemain Arsenal, Park Chu Yong, yang menukar kepada kerakyatan Monaco.
 
Selain itu, Kerajaan Korea pernah memberi pengecualian kepada beberapa pemain atas pencapaian hebat mereka dalam Piala Dunia dan Sukan Olimpik, termasuk Park Ji Sung dan Ki Seung Yueng.
 
Jurulatih skuad B-23 Korea, Kim Hak-bum, kini dalam rangka lawatan ke Eropah untuk bertemu anak buahnya bagi mendapatkan kepastian lanjut. 
 
Antaranya melibatkan Hwang Hee-chan (Red Bull Salzburg), Lee Jin-hyun (Austria Wien), Lee Seung-woo (Hellas Verona), Paik Seung-ho (Peralada-Girona B), Seo Young-jae (Hamburg) dan Kim Jung-min (FC Liefering).

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen