SMS tarikan terbaru kelab utama Eropah  

Oleh 24 February 2018 5768
SMS tarikan terbaru kelab utama Eropah  
Sebut saja singkatan namanya, SMS, seluruh Eropah akan memberikan perhatian, tidak terkecuali dua kelab Manchester yang dikatakan saling berminat untuk mendapatkannya.

Sergej Milinkovic-Savic mungkin masih terikat kontrak dengan Lazio sehingga 2020 tapi kelab Serie A itu harus tidak keberatan melepaskan ayam tambatan mereka itu jika kena pada harganya.
 
Pemain tengah antarabangsa Serbia berusia 22 tahun itu telah tampil sebanyak 32 kali untuk Lazio musim ini dengan tujuh gol liganya turut memberi sumbangan besar buat kelab itu menambat perhatian di tangga keempat ketika ini.
 
Menurut laporan The Daily Record, kedua-dua Manchester City dan Manchester United memendam hasrat untuk mendapatkan tandatangannya pada musim panas nanti.
 
Jose Mourinho tidak pun berahsia bahawa dia mahu mendapatkan seorang lagi pemain tengah pada penghujung musim ini, tambahan pula dengan persaraan Michael Carrick.
 
Dan pada ketika Milinkovic-Savic dikatakan menarik minat United, Pep Guardiola juga dikatakan tidak mahu ketinggalan dalam ikhtiar mendapatkan pemain itu untuk memperbanyakkan pilihannya dalam melakukan serangan.
 
Siapakah sebenarnya SMS ini hingga menimbulkan keterujaan sedemikian rupa?
 
Berketinggian 1.92 meter (6 kaki 4 inci) Milinkovic-Savic diumpamakan paling hampir dalam Serie A dengan bekas pemain Juventus, Paul Pogba. Kedua-duanya bermain di ruang yang sama – di sebelah kiri barisan tengah – yang memberikannya ruang untuk menyerlahkan kegemarannya naik menyerang.
 
Selaku seorang jurulatih yang masih tandus pengalaman, Simone Inzaghi berhak mendapat pujian kerana mampu mengenal pasti kelebihan pemain itu di samping mengerah yang terbaik daripadanya.
 
Sejumlah sembilan gol dan empat bantuan jaringan musim ini tidak menceritakan sepenuhnya mengenai Milinkovic-Savic kerana dia sebenarnya berupaya mengambil alih permainan.
 
Berdepan Atalanta, misalnya, dia bersendirian membangkitkan Lazio untuk kembali ke dalam permainan daripada ketinggalan 0-2 di samping menyumbang dua gol lagi di Sampdoria dan menggamamkan ramai dengan persembahan separuh masa pertama di Napoli dua minggu lalu.
 
Namun, persoalan mengapa Serbia belum menampilkannya dalam perlawanan kompetitif, masih menjadi misteri.
 
Milinkovic sebenarnya sudahpun mengundang kekaguman setahun yang lalu – itu yang mendorong Lazio menebus 50 peratus klausa pelepasannya daripada kelab Belgium, Genk, dengan nilai £7.9 juta (RM43 juta), September lalu.

Isnin lalu, Lazio memintas Inter Milan dalam Serie A untuk melonjak ke tangga keempat dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara. Andainya layak, ia akan mendatangkan banyak wang, sekali gus memudahkan mereka untuk meyakinkan Milinkovic-Savic agar kekal setahun lagi.
 
Dalam pada itu, minat besar terhadapnya semakin banyak dan meluas hingga talian utama telefon di Lazio tidak akan henti-henti berdering.
 
Kelab-kelab utama Eropah mempunyai pesanan – mereka mahukan SMS.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen