Sindrom Malaysia -- Penyakit pemain badminton kebangsaan

Oleh Lukman Salleh 18 March 2018 5508
Sindrom Malaysia -- Penyakit pemain badminton kebangsaan
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria memberikan takrifan baru penyakit yang melanda permain kebangsaan sebagai Sindrom Malaysia selepas gagal membawa pulang sebarang kejuaraan di Kejohanan Badminton Seluruh England yang berakhir pada Ahad.

Ada dua tanda utama Sindrom Malaysia ini iaitu pertama; kurang semangat juang dan kedua; kurang kekuatan mental. Persoalannnya benarkah pemain Malaysia mempunyai sindrom ini? Jika aksi di Seluruh England jadikan ujian, maka jelas sekali beberapa pemain negara mempunyai petanda kepada sindrom ini. Melainkan Datuk Lee Chong Wei, mungkin ada sedikit kebenaran untuk menyatakan bahawa beberapa wakil negara kurang semangat juang dan juga kekuatan mental.

Namun pada pendapat saya, dua faktor itu terlalu subjektif untuk kita menyatakan semua pemain badminton Malaysia mempunyai sindrom ini. Kita yang di luar memang mudah untuk melabelkan pemain mempunyai penyakit ini setiap kali mereka kalah pada ketika sudah mampu meraih kemenangan. Ini jika kita bandingkan dengan aksi yang ditunjukkan pemain negara lain seperti China, Jepun, Korea dan Denmark yang tampak berjuang habisan-habisan hingga ke mata akhir.

Tetapi kita tidak boleh melabelkan semua pemain kita mempunyai sindrom ini. Jika mereka ada sudah tentu kita tidak akan menang trofi atau kejuaraan antarabangsa. Cuma kadang kala bagi saya, perasaan alpa atau hilang sentuhan akan meresap dalam diri pemain ketika dalam permainan. Saya rasa semua pemain dunia bukan saja pemain Malaysia akan berdepan situasi ini. Maka saya berpendapat kita tidak boleh untuk menghakimi bahawa semua pemain badminton Malaysia atau semua ahli sukan negara memiliki sindrom ini.

Saya pasti semua ahli sukan akan mengalami sindrom ini. Apa yang penting ialah sentiasa memastikan pemain badminton kebangsaan setiasa mempunyai semangat untuk bangkit semula daripada setiap kakalahan. Kita boleh menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai contoh untuk memotivasikan pemain kebangsaan. Chong Wei juga boleh menjadi pakar motivasi kepada pemain di mana dia sentiasa bangkit daripada setiap kekecewaan dan pada ketika usia 36 tahun masih terus boleh beraksi di peringkat tertinggi.

Jika BAM mencari penawar kepada sindrom ini, ia sudah berada di depan mata dalam diri Datuk Lee Chong Wei.  

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen