Siapa yang terbaik?

Oleh Burn Thevandran 4 September 2019 109
Siapa yang terbaik?
Majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengumumkan senarai pendek pemain dan jurulatih yang bakal menerima anugerah untuk tahun ini berdasarkan pencapaian musim lalu.

Seperti dijangka, bagi kategori pemain lelaki, tiga nama disenarai pendek iaitu pertahanan Liverpool, Virgil Van Djik, selain dua nama yang tidak asing lagi, iaitu Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Ketiga-tiga pemain adalah kapten untuk skuad kebangsaan masing-masing dan juga melalui musim yang menakjubkan.

Bagi Van Djik, prestasi cemerlangnya membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah manakala Ronaldo dan Messi pula cemerlang memimpin Juventus dan Barcelona menjuarai saingan liga domestik. Persaingan dijangka sengit bagi kategori pemain lelaki memandangkan setiap pemain membawa pencapaian yang berbeza.

Untuk rekod, musim lalu anugerah ini dimenangi oleh Luka Modric atas persembahan baiknya bersama Real Madrid dan Croatia. Umum juga meramalkan ketiga-tiga pemain ini akan bersaing sesama mereka untuk Anugerah FIFA Ballon D’or.

Bagi Anugerah Jurulatih Terbaik, nama Jurgen Klopp, Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino telah disenarai pendek dan ironinya, ketiga-tiga jurulatih membimbing pasukan dalam Liga Perdana Inggeris. 

Klopp dan Pochettino beradu taktikal di pentas final Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan Liverpool muncul juara, selain ia merupakan pentas final tertinggi pertama bagi Spurs. 

Sementara itu, bagi Pep, kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris buat dua musim berturut-turut merupakan punca utama namanya turut disenaraikan.

Pada musim lalu, Didier Deschamps muncul pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik atas kejayaan membawa Perancis muncul juara Piala Dunia 2018.

Majlis anugerah ini akan berlangsung pada 23 September ini di Kota Milan. Jika anda menjadi salah seorang panel pemilih, siapakah jurulatih dan pemain terbaik pilihan anda?

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen