Shah Alam saksi kekalahan pertama JDT musim ini?

Oleh Dayang Zainatull 26 February 2019 56428
Shah Alam saksi kekalahan pertama JDT musim ini?
Tajuk di atas bukanlah kenyataan yang mahukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tumbang di Shah Alam dalam pertemuan berdepan Selangor Jumaat nanti. Bukan juga mahukan Selangor mencipta kemenangan pertama musim ini. Ianya lebih kepada menghangatkan suasana sebelum sepak mula perlawanan tumpuan minggu ini.

Selangor selaku tuan rumah pastinya dahagakan tiga mata apabila masih gagal mencatat kemenangan sulung selepas empat perlawanan Liga Super. Seri tiga kali dan tewas sekali bukanlah satu keputusan yang diharapkan peminat mereka selepas membawa masuk tenaga kejurulatihan dan pemain-pemain baru untuk musim 2019.

Belum pun memasuki separuh liga, Red Giants sudah berdepan pelbagai isu semasa dalaman seperti kegagalan mencatatkan kemenangan selain gossip pergeseran antara B. Sathianathan dan Amri Yahyah. Benar atau tidak, Dayang juga tidak pasti, namun diharapkan semuanya baik-baik sahaja dalam kem Selangor.

Sementara itu di selatan tanah air, JDT pastinya tidak rela andai melepaskan tiga mata di Shah Alam. Tiga kemenangan dalam empat perlawanan adalah sesuatu yang sudah dijangka dari pasukan yang dibarisi pemain bintang dan mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa. Namun begitu, pihak pengurusan mereka masih lagi tidak begitu berpuas hati dengan prestasi semasa hinggakan melepaskan import baru, Aaron Niguez dan kembali menggunakan khidmat bekas pemain import mereka, Leandro Velasquez.

Mungkin peminat bola sepak tempatan masih mengingati kenyataan dari pihak pengurusan JDT yang pernah mengatakan mereka tidak akan ambil semula bekas pemain import yang lama, tetapi kini…. Biasalah, tiada yang sempurna dalam dunia ini, yang penting JDT terus berada di prestasi terbaik mereka.

Sathianathan yang terdesak untuk menyelamatkan kedudukannya selaku ketua jurulatih sudah pasti akan merencana taktikal terbaik bagi mengekang asakan anak-anak buah Luciano Figueroa dan andai tidak mampu memungut tiga mata, satu mata juga sudah memadai dan paling penting tidak tewas.

Manakala bagi kem JDT, mereka tentu mahu mengekalkan momentum kemenangan agar tidak keciciran mata memandangkan mereka kini berkongsi mata dengan pendahulu liga, pasukan Kedah. Jadi,siapa yang akan turun ke Stadium Shah Alam jumaat ini untuk perlawanan diantara Selangor dan JDT? Kalau ada yang ternampak Dayang di stadium, tegur-tegur lah ye. 

Kredit foto: Johor Southern Tigers

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen