Seorang Jerman dan Seorang Argentina, Bertemu di Sepanyol

Oleh Dayang Zainatull 28 May 2019 831
Seorang Jerman dan Seorang Argentina, Bertemu di Sepanyol
Dua pasukan dari Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Tottenham Hotspur akan bertemu di Madrid, Sepanyol untuk aksi final  Liga Juara Juara Eropah.  Kedua-dua pasukan sudah  bertahun-tahun kempunan piala untuk di letakkan di rak piala mereka, dan kini kedua-duanya berentap untuk merebut piala paling berprestij di peringkat kelab.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang tiba di Anfield 2015, telah mengubah landskap kelab untuk kembali menjadi salah sebuah pasukan yang paling digeruni di England, setelah beberapa tahun tampil dengan aksi hambar walaupun memegang status kelab besar. Walaubagaimanapun, rekod Kloop masih belum berjaya dibuktikan apabila masih tiada piala mampu dibawa pulang ke Anfileld. Pencapaian terbaik setakat ini adalah kedudukan kedua di liga, selain mara ke pentas final UCL sebanyak dua kali.

Berbeza ceritanya dengan Mauricio Pocchetino, pengendali Tottenham Hotspur. Pocchetino sedar bahawa Spurs bukanlah satu kelab yang begitu besar andai dibandingkan dengan Liverpool. Menjadi jurulatih di Spurs sejak 2014, kejayaan paling besar yang dibawa oleh pengendali Argentina itu bukanlah piala atau trofi, tetapi kepercayaan pihak luar terhadap keupayaan kelab kerdil untuk menjadi salah satu kelab yang digeruni. 

Bagi The Reds, kemasukan pemain baru seperti Allison Becker dan Virgil Van Dijk ternyata memberikan impak besar kepada persembahan pasukan mereka musim ini. Keupayaan pemain tonggak seperti Mohamad Salah dan Mane untuk beraksi konsisten ternyata menjadi tunjang prestasi baik mereka.

Berbeza ceritanya di kem Spurs. Tanpa membeli pemain baru sejak Januari 2018, kebergantungan kepada pemain sedia ada dilihat amat berkesan kepada mereka. Barisan pemain simpanan juga dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain utama. Andai Harry Kane cedera, pemain seperti Fernando Llorente, Lucas Moura dan Heung Min Son sentiasa bersedia untuk menjadi mesin gol.

Apa yang pasti, diantara Jurgen Klopp dan Mauricio Pocchetino, salah seorang daripada mereka akan merasai nikmat menjulang trofi kejuaraan Liga Juara Juara Eropah hujung minggu ini, manakala yang tewas pula, perlu menunggu musim baru untuk kembali bersaing untuk menghadiahkan sebuah trofi kepada kelab.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen