Sedikit inspirasi untuk skuad Bujang Senang, mungkin?

Oleh Dayang Zainatull 16 April 2017 495
Sedikit inspirasi untuk skuad Bujang Senang, mungkin?
Sebagai rakyat Sarawak yang dilahir dan dibesarkan di Kuching, Sarawak, memiliki kad pengenalan nombor 13 dan berstatus “K” dalam pasport Malaysia, alangkah bahagianya rasa diri ini jika Sarawak boleh keluar dari zon binasa yang mungkin boleh menyingkirkan pasukan Bujang Senang daripada saingan Liga Super.

Alangkah indahnya dunia jika Sarawak kini tidak bergelut dengan penyingkiran atau “zon bahaya” di tempat tercorot namun itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan seandainya tiada apa yang dilakukan untuk membendung masalah ini.

Jangan salah sangka, artikel kali ini bukanlah hendak mengkritik pasukan Sarawak yang masih belum mendapat rentak untuk konsisten memperolehi tiga mata tetapi hendak berkongsikan pengalaman saya bertemu salah seorang pemain import legenda Sarawak yang membantu pasukan meraih gelaran juara Piala FA pada tahun 1992.

1992

Ketika itu saya baru berusia setahun jadi tidak ada apa-apa memori yang mampu saya simpan memandangkan usia ketika itu masih terlalu muda. 

Namun banyak detik-detik hebat Ngap Sayot yang sentiasa diceritakan oleh kedua ibu bapa saya yang sememangnya peminat tegar pasukan Sarawak sehingga kini. Jadi, secara tidak langsungnya era gilang gemilang itu seolah-olah sebahagian daripada saya juga.

Salah seorang nama yang masih lagi menjadi sebutan peminat yang mengingati era kegemilangan Ngap Sayot padah awal 90-an adalah Jeff Curran.

“Zaman Jeff Curran” bak kata orang-orang dekat kampung halaman saya.

Selain jasa beliau terhadap pasukan Sarawak yang ketika itu di bawah kendalian Alan Vest, anak bongsunya juga dilahirkan di salah sebuah hospital di Kuching pada tahun 1993 membuatkan keluarga mereka begitu gemar “balik kampung” ke Kuching apabila ada kesempatan. 

Menariknya, anak bongsunya Luke kerap kali mengaku dirinya sebagai “Malaysian” kerana begitu bangga dilahirkan di Bumi Kenyalang. Nampak tak elemen patriotisme yang masih lagi wujud dalam mereka biarpun sudah lebih 20 tahun kembali ke negara sendiri?

Baru-baru ini, The Currans kembali ke Malaysia sekali lagi untuk bercuti dan saya berkesempatan untuk berbual dengan Jeff Curran tentang perbezaan Sarawak dahulu dan sekarang. 

Percaya atau tidak, Jeff yang kini menetap di Glasgow, Scotland masih lagi mentelaah akhbar tempatan secara online setiap hari untuk mengetahui perkembangan terkini di Sarawak.

Memandangkan beliau begitu “passionate” terhadap segala yang berlaku dalam dunia bola sepak Sarawak, soalan yang saya ajukan kepadanya mudah sahaja: Apakah faktor utama yang menjadikan pasukan Sarawak begitu hebat dan digeruni suatu ketika dahulu? Apakah tidak sama dengan keadaan pasukan kita sekarang? 

Jawapan yang diterima sangatlah mudah dan ringkas, namun kebenaran di sebaliknya tidak boleh disangkal.

“Dahulu, terutama sekali pada tahun 1992, persefahaman di antara pemain import dan pemain tempatan sangat menakjubkan. Jika sekarang kita selalu mendengar orang berkata bahawa pemain tempatan seharusnya belajar daripada pemain import. Secara jujurnya, pada waktu saya menyarung jersi Sarawak, saya juga banyak belajar daripada pemain tempatan seperti Jalil Ramli dan Roslan Ismail.

“Semangat hendak menang yang kami ada ketika itu sangatlah unik - dan bukan saya hendak berkata bahawa semangat itu tiada dalam pasukan Sarawak ketika ini - tapi perasaan hendak menang dan enggan mengalah itu sangat penting.”

Hai Sarawak, saya betul-betul berharap suatu hari nanti kamu boleh kembali hebat seperti dahulu kala. Cerita “The Invincibles 2013” rasa macam tak mencukupi jika tiba giliran saya pula hendak bercerita tentang pasukan Bujang Senang kepada anak-anak nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen