Salah jadi tumpuan Piala Dunia

Oleh Thani Hasbullah 30 March 2018 3389
Salah jadi tumpuan Piala Dunia
Seperti yang menjadi bualan ramai pemerhati bola sepak dunia, Mohamed Salah antara pemain yang pastinya bakal mencuri tumpuan selain Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam Piala Dunia di Russia, bermula 14 Jun ini.

Salah, yang menjadi fenomena dalam kalangan peminat Liverpool, disifatkan ramai sebagai pemain terbaik ketika ini dalam membantu kelab dan negaranya, Mesir.

Pemain berusia 25 tahun itu membantu Mesir muncul buat pertama kali melayakkan diri ke pentas utama Piala Dunia selepas 1990. 

Mesir hampir-hampir mengejutkan juara Eropah, Portugal, pada hujung minggu lalu apabila satu gol daripada Salah hanya ditenggelamkan dalam masa tambahan untuk menyaksikan perlawanan berkesudahan 2-1, di mana Ronaldo menyudahkan kedua-dua gol tersebut.

Salah mungkin tidak berjaya menewaskan Ronaldo tetapi pemain sayap Liverpool itu dikatakan hampir setaraf dengan bintang Portugal dan penyerang Barcelona, Messi, selepas mencatatkan rekod pada musim ini.

Pemain itu menjaringkan empat gol ketika Liverpool menundukkan Watford 5-0 sebelum rehat antarabangsa bagi mencatat rekod baru penjaring terbanyak pemain The Reds dalam kemunculan sulung kempen.

Empat gol itu membolehkannya menghimpun 28 gol, sekali gus memintas Harry Kane yang mengumpul 24 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Untuk keseluruhan 41 perlawanan dalam semua kejohanan, Salah sudah menjaringkan 36 gol sementara Ronaldo menjaringkan 37 dalam 35 perlawanan dan Messi menjaringkan 35 gol dalam 43 perlawanan.

"Kamu boleh merujuk kepada Fernando Torres dan Luis Suarez yang telah menunjukkan penanda aras bagi seorang penyerang Liverpool.

"Dia sungguh luar biasa tetapi dalam masa sama, dia seorang yang merendah diri.

"Perlawanan menentang Watford adalah yang terbaik pernah saya saksikan dia bermain. Dia tidak boleh dihalang -- bukan hanya dengan empat golnya tetapi juga kerana dia tidak tamak dan cuba mencipta peluang untuk rakan sepasukan.

"Hanya dua pemain yang saya lihat boleh bermain pada tahap itu, iaitu Messi dan Ronaldo," demikian kata legenda Liverpool, Ian Rush.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen