Saingan empat penjuru LHM 2018

Oleh 23 January 2018 1339
 Saingan empat penjuru LHM 2018
Tamat pusingan pertama Liga Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018 apabila menyaksikan wujudnya saingan empat penjuru untuk merebut kejuaraan musim ini.

Empat pasukan itu ialah Terengganu Hockey Team (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC).

Seperti biasa, THT membuktikan status selaku juara bertahan apabila menamatkan pusingan pertama sebagai pendahulu liga dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.

Keputusan THT mengambil empat import dari Argentina terutama pakar flik dunia, Gonzalo Peillat, tidak sia-sia kerana berjaya menduduki senarai penjaring kedua terbanyak dengan tujuh gol setakat ini. 

Lima gol daripada pukulan sudut penalti dan dua jaringan pukulan penalti merupakan faktor utama keunggulan THT setakat ini selain prestasi cemerlang pemain-pemain lain seperti Faizal Saari dengan enam gol.

Saya tidak hairan melihat TNB mengekori rapat THT di tangga kedua dengan ketinggalan satu mata sahaja berdasarkan konsistensi permainan ditunjukkan pemain mereka.

Kehadiran Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil dan Firhan Ashari menyaksikan TNB layak dianggap pencabar utama musim ini. Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan tiga gol daripada lima perlawanan setakat ini.

Dua kemenangan berharga terhadap dua pasukan pilihan, menewaskan UniKL 3-2 dan 4-2 ke atas KLHC membolehkan TNB kekal mencabar. Sayang sekali apabila mereka gagal menewaskan Maybank selepas seri 1-1 dalam perlawanan terakhir, jika tidak sudah tentu TNB sudah menerajui liga sekarang.

Pelaburan besar UniKL menampakkan hasil kerana masih kekal selaku pencabar utama musim ini. Mereka cuma ketinggalan tiga mata sahaja untuk menyamai THT. 

KLHC bermula perlahan tetapi enam mata dalam dua perlawanan terakhir menyaksikan mereka seperti sudah kembali ke tahap sebenar, lebih-lebih lagi apabila berjaya melakar kemenangan terbesar dengan menjaringkan tujuh gol.

Bagaimanapun, empat pasukan ini tidak boleh memandang rendah kemampuan dua lagi pasukan, iaitu TNB Thunderbolts dan Maybank, kerana kedua-duanya mampu mencuri kesempatan jika mereka mengambil mudah.

Saya percaya pusingan kedua liga yang akan kembali berlangsung esok (24 Januari) lebih meriah dan pastinya perlawanan antara THT dan UniKL di Kuala Terengganu paling mencuri tumpuan pada hari tersebut.

Jika THT tidak belajar daripada kesilapan lalu, tidak mustahil UniKL mampu meleburkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.

Walaupun UniKL tidak dapat menurunkan Tim Deavin kerana kutipan kad tetapi mereka diperkuatkan semula dengan kehadiran kapten, Marhan Jalil, yang terlepas dua aksi sebelum ini disebabkan masalah kecederaan.

Jika THT ada Peillat, UniKL pula mempunyai bintang dari Jerman iaitu Jeroen Dolf Hertzberger yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol.

Hertzberger berjaya meledak gol menentang kesemua lima pasukan setakat ini dan Penjaga Gol Terbaik Dunia 2015 dan 2016, David Harte, sudah tentu tidak rela gawang UniKL dibolosi lagi di tangan THT selepas membenarkan Faizal menjaringkan dua gol baru-baru ini.

Selamat maju jaya kepada semua pasukan dalam mengharungi pusingan kedua TNB Liga Hoki Malaysia 2018.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen