Sabarlah coach Bala

Oleh 4 April 2018 4318
Sabarlah coach Bala
M. Balamurugan. Namanya tidak sehebat Khairul Hafiz Jantan atau Muhammad Hakimi Ismail tetapi sentuhannya berjaya melahirkan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Ketika nama Zaidatul berada di hujung tanduk untuk digugurkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Bala mengumpul segala data untuk diperjuangkan di depan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Akhirnya, Zaidatul terpilih namun Bala terlupa berjuang untuk dirinya.

Beliau tidak dapat mengiringi Zaidatul dan seorang lagi pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, kerana kad akreditasi tidak mencukupi. 

Memandangkan Malaysia memiliki Mohd Poad Kassim sebagai jurulatih pecut, maka nama Bala terpaksa digugurkan.

Bala tidak mengeluh tetapi jauh di lubuk hatinya, saya yakin beliau mahu mengiringi perjuangan anak buahnya.

Apa yang berlaku mengingatkan saya insiden dua tahun lalu.

Zaidatul layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 namun kekurangan kad akreditasi menyebabkan Bala digugurkan. Soalnya, mengapa Bala?

Mengapa pegawai persatuan atau pemegang taruh lain boleh bersama kontinjen negara?

Adakah pegawai lebih penting berbanding jurulatih?

Perkara ini turut dibangkitkan bekas wartawan, Haresh Deol: "Bagi mengelakkan keraguan, jalan terbaik ialah pemegang taruh terutamanya Majlis Olimpik Malaysia membentangkan senarai pegawai atau individu ke Gold Coast secara umum.

"Tugas mereka juga patut diumumkan sekali. Setiap pegawai ke sana perlu ada tugas masing-masing".

Saya yakin Bala akan sentiasa memantau Zaidatul dan Jonathan, sekarang zaman serba canggih.

Tetapi sampai bila masalah ini akan berlaku? Siapa yang sepatutnya diutamakan? Pegawai atau jurulatih? 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen