Ronaldo-Van Dijk meleset lagi tapi…

Oleh Shaukei Kahar 11 June 2019 10631
Ronaldo-Van Dijk meleset lagi tapi…
Di sebalik ia satu pertembungan yang sangat berkemungkinan, kesudahannya ia tidak menjadi seperti diharap-harapkan.

Cristiano Ronaldo di satu pihak dan Virgil Van Dijk di pihak berlawanan, apa yang diharapkan menjadi perhitungan peribadi dalam final Liga Negara-Negara di antara Portugal dan Belanda yang diketuai masing-masing awal pagi semalam, nampaknya meleset lagi.

Sama seperti final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu yang menemukan kedua-duanya buat kali pertama – Ronaldo dalam serba putih Real Madrid manakala Van Dijk menyarung seragam serba merah Liverpool – kedua-duanya seakan-akan saling mengelakkan.

Barangkali juga ia percaturan taktikal kedua-dua jurulatih yang melihat pertembungan itu sebagai perhitungan di antara dua pasukan, bukannya di antara dua individu sekadar untuk memenuhi jangkaan ramai.



Namun, ia berlaku juga pada minit ke-28. Mana mungkin penyerang sehebat Ronaldo mahu melarikan diri daripada Van Dijk, bek tengah yang gagal digelecekkan mana-mana penyerang sepanjang musim ini.

Begitupun, ia jauh daripada bermirip pertembungan satu lawan satu, sebaliknya sekadar menyaksikan satu percubaan Ronaldo ditampan kapten Belanda itu.

Selebihnya, kedua-duanya tidak pun berada di laluan yang sama hingga ulangan pertentangan Ronaldo-Van Dijk dalam final di Estadio do Dragao, Lisbon itu langsung tidak menjadi kenyataan.

Pada penghujungnya, Ronaldo yang memimpin rakan-rakan sepasukan menjulang trofi yang menjadi rebutan buat julung kalinya itu hasil kemenangan 1-0 ihsan jaringan Goncalo Guedes selepas genap sejam permainan – mengulangi kejayaan dalam Euro 2016 di Perancis.



Seperti final UCL musim lalu, Van Dijk berada di pihak yang kalah tapi ia mungkin bukan penamat kepada perseteruan peribadi kedua-duanya – sekurang-kurangnya buat ketika ini.

Kini, perseteruan kedua-duanya berlanjutan ke pentas berbeza – podium pemenang anugerah tahunan Ballon d’Or pula – dengan Van Dijk dirasakan ramai berkelebihan untuk menamatkan penantian sekian lama but seorang pemain pertahanan meraihnya sejak tonggak Itali, Fabio Cannavaro, memenanginya pada 2006.

Ronaldo, bagaimanapun, menawarkan pandangan berbeza di sebalik ini adalah kali pertama dalam tempoh 10 tahun, dia menamatkan musim dengan sumbangan kurang daripada 40 gol.

“Saya telah menjuarai tiga kejohanan,” katanya selepas final Liga Negara-Negara itu sebagai tambahan kepada Serie A dan Piala Super Itali bersama Juventus.

Tambahnya kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Ser: “Sepanjang karier saya, tidak pernah ada tempoh yang saya bermain dengan buruk dan tahun ini tidak berbeza.

“Adakah saya berhak kepada Ballon d’Or? Saya tidak tahu, saya serahkannya kepada anda untuk menilainya,” kata Ronaldo yang terlepas anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Liga Negara-Negara kepada rakan sepasukan, Bernardo Silva.

Sebagai perbandingan, Lionel Messi yang memiliki musim gemilang secara individu – 51 gol dan 22 bantuan jaringan dalam 50 penampilan di samping memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah dengan 36 gol daripada 34 perlawanan LaLiga – hanya mempunyai kejuaraan LaLiga untuk dibanggakan.

Peluangnya akan terus dilonjakkan andai mampu mengemudi Argentina menjuarai Copa America di Brazil yang akan bermula Sabtu ini.

Jika tidak, ia meninggalkan Van Dijk, yang merangsang Liverpool untuk kedudukan naib juara Liga Perdana Inggeris serta Liga Negara-Negara dan meraih trofi Liga Juara-Juara (UCL) sebagai pilihan untuk anugerah itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen