Roelant ada magis buat Malaysian Tigers

Oleh Mirnawan Nawawi 2 October 2018 160
Roelant ada magis buat Malaysian Tigers
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bukan sekadar bercakap kosong mahu memastikan skuad hoki lelaki negara mendapat slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Apa tidaknya, KHM sanggup mendapatkan individu bernama besar dalam arena hoki dunia, Roelant Oltmans, sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara.

Pelantikan Roelant pastinya menjadi satu rangsangan baharu dan menyuntik semula semangat Malaysian Tigers yang masih dirundung kekecewaan kerana terlepas peluang bergelar meraih slot automatik ke Tokyo sebagai juara Sukan Asia 2018.

Satu pengorbanan terpaksa dilakukan dengan ketua jurulatih sebelum ini, Stephen Van Huizen dilantik sebagai penolong kepada Roelant, namun saya difahamkan KHM mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada.

Saya tertarik untuk melihat kombinasi menarik antara Roelant, Stephen dan Terry Walsh yang merupakan Pengarah Teknikal KHM untuk memastikan skuad negara layak ke Tokyo menerusi peringkat kelayakan bermula tahun depan.

Gandingan tiga individu ini dengan bantuan sokongan daripada barisan kejurulatihan menyaksikan tiada sebab untuk Malaysia tidak dapat meningkatkan prestasi mereka dalam misi ke Sukan Olimpik.

Mungkin ramai tertanya mengenai kewangan diperuntukkan KHM disebabkan pertambahan barisan kejurulatihan kerana Stephen kini merupakan penolong jurulatih bersama-sama Muhamad Amin Rahim dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Bagi saya, anda tidak perlu khuatir kerana pengurusan tertinggi KHM terutama Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal tentunya sudah merencanakan pelan untuk memastikan soal kewangan bukan penghalang dalam memantapkan pasukan kebangsaan ke satu tahap berkualiti tinggi.

Saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dilakukan demi kebaikan pasukan hoki kebangsaan layak ke Sukan Olimpik kerana kali terakhir Malaysia beraksi ialah 18 tahun lalu sewaktu edisi 2000 di Sydney, Australia.

Bagaimanapun, pelaburan yang dibelanjakan harus ada syarat-syarat tertentu antaranya pulangan hsaruslah setimpal. 

Pasukan kebangsaan sebenarnya sudah berada pada tahap terbaik tetapi kehadiran Roelant yang memiliki reputasi tinggi dengan kejayaan memenangi Piala Dunia bersama skuad hoki lelaki dan wanita Belanda serta pingat emas Sukan Olimpik, juga bersama Belanda, lebih meyakinkan.

Falsafah, konsep dan struktur permainan serta sentuhannya bukan sahaja untuk layak ke Sukan Olimpik tetapi bagi memastikan Malaysia sekurang-kurangnya berjaya menghuni kelompok ranking 10 terbaik dunia seperti dilakukannya bersama India beberapa tahun lepas.

Pengalamannya sebagai jurulatih berpengalaman luas di peringkat antarabangsa pasti dapat menjelmakan formula-formula baharu bagi memperbaiki beberapa aspek kelemahan yang mungkin selama ini terlepas pandang atau melalui cara kurang efektif.

Pujian juga seharusnya diberikan kepada Stephen kerana beliau sudah beberapa kali membuktikan kemampuannya bersama pasukan kebangsaan terutama melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia 2018 dan meraih naib juara Sukan Asia 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen