Ragbi -- sukan yang memerlukan lebih daripada semangat untuk berjaya

Oleh Zainal Abidin Rawop 30 April 2018 1138
 Ragbi -- sukan yang memerlukan lebih daripada semangat untuk berjaya
Semangat juga diperlukan dalam semua acara sukan, bukan sahaja untuk permainan yang digelar ‘gentleman game’ ini sahaja.

Namun, berhujah pada hakikat selepas membuat liputan ragbi Liga Premier Asia (ARC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu, jelas menunjukkan betapa skuad negara memerlukan lebih daripada semangat untuk melangkah jauh.

Tewas 10–35 adalah jumlah jaringan terendah berbanding dua perlawanan terdahulu yang menyaksikan Malaysia dilanyak 3–135 pada 1992 dan 5– 12, empat tahun berikutnya oleh pasukan ranking ke-31 dunia, Korea Selatan.

Sukan ragbi lebih dahulu diperkenalkan di Malaysia berbanding Korea kerana Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) ditubuhkan pada 1921 sebelum menyertai Kesatuan Ragbi Dunia pada 1988 berbanding Korea, 1946.

Sukan ini memiliki pengikut yang ramai dan saya amat yakin jumlahnya seimbang dengan peminat–peminat sukan bola sepak. Cuma sejujurnya, pemain–pemain ragbi tidak sepopular atau ‘sekaya’ rakan seperjuangan mereka di padang bola sepak. Tetapi sebilangan besar mereka juga bergelar atlet profesional sepenuh masa.

Ragbi juga adalah sukan yang sebati dengan jiwa ini selepas melangkah ke alam sekolah menengah di Maktab Sultan Abu Bakar atau English College (EC) Johor Bahru.

Sistem satu murid satu sukan hakikatnya sudah diperkenalkan sejak dahulu lagi dan EC sememangnya mahukan setiap murid memilih satu jenis sukan untuk diceburi. Bayangkanlah budak Larkin ini gagal menyertai pasukan bola sepak EC kerana tidak cukup bagus dan ragbi menjadi pilihannya.

Sememangnya tidak menyesal terbabit dalam sukan ini dan terima kasih kepada Cikgu Zainuddin Mohamed -- bekas 'full-back' kebangsaan yang bertindak selaku jurulatih kami dan pemain–pemain cukup bersemangat untuk menerima tunjuk ajar daripada beliau, lebih–lebih lagi selepas dia tercalon sebagai Olahragawan Kebangsaan 1978.

Sayangnya pembabitan di dalam sukan ragbi pudar sebaik meninggalkan EC kerana mengikut keluarga berpindah ke daerah Muar tetapi di situ berkembanglah pula potensi saya dalam permainan bola sepak.

Pandang ke hadapan, perkembangan sukan ragbi tetap diikuti penuh minat sepanjang masa terutama membabitkan perlawanan–perlawanan test membabitkan Bristish Lions, South Africa Springboks, New Zealand All Blacks, Kejohanan 6-Nations dan sudah tentu, Piala Dunia.

Saya amat bersyukur kerana peluang membuat ulasan sukan ragbi lebih terbuka di Astro Arena yang membawa siaran langsung ragbi Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan sudah pasti Liga Division Satu Asia.

Dua tahun lalu beratapkan kanopi biru yang sempit, saya dan ‘sifu’  untuk ulasan ragbi di Astro Arena, Syed Abdul Latif atau dikenali sebagai Rod, membuat ulasan membabitkan pasukan negara di Kelab Diraja Selangor dan tahun lalu, usaha kami berbaloi biarpun berpanas serta berpeluh di bawah kanopi putih di Padang Ipoh untuk meraikan kejayaan Skuad Bunga Raya layak ke Premier Division selepas mengetepikan cabaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sri Lanka dan Filipina.

Tidak berakhir di situ, saya dan Rod ibarat pengulas yang dirasuk untuk meraikan kejayaan pasukan 7's negera memenangi emas Sukan SEA 2017 di Kelana Jaya.

Pasukan ragbi negara jelas menunjukkan perkembangan yang membanggakan hasil kerja keras presiden serta pegawai–pegawai dalam Kesatuan Ragbi Malaysia. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan perkembangan sukan ragbi ini bermula di peringkat akar umbi menerusi pelbagai program dan pertandingan.

Bagaimanapun, berpijak di bumi nyata, skuad Negara masih mentah untuk mencabar gergasi Asia seperti ketika berdepan Korea Selatan, Sabtu lalu. 

Alasan bahawa skuad bimbingan Lee Nyuk Fah turun tanpa kehadiran enam tonggak penting mungkin kedengaran agak klise kerana mereka masih memilki lima pemain naturalisasi dalam kalangan 15 pemain kesebelasan utama. Harus diingat, skuad ragbi negara sememangnya memerlukan pemain-pemain import untuk memberi kekuatan seimbang bagi mencabar pihak lawan. 

Ini bukanlah situasi yang asing kerana banyak pasukan-pasukan di Asia seperti Jepun, Hong Kong malah Singapura juga menggunapakai khidmat pemain-pemain luar.

Korea Selatan mempertaruhkan pemain-pemain tempatan yang dikatakan kurang bersedia tetapi mereka diperkuatkan oleh lapan pemain profesional Liga Jepun dan mereka mengajar Malaysia bagaimana sesebuah skuad itu memerlukan taktikal yang betul; kepantasan, kekuatan fizikal, mental, kecergasan tinggi selain semangat juang.

Bukan mengatakan pasukan negara tidak memiliki ciri–ciri tersebut, tetapi sepanjang 40 minit pertama sahaja pasukan negara begitu gugup sehingga gagal melepasi kawasan 22 ela lawan! Sebaliknya, The Rose of Sharon itu nyata terlalu ampuh untuk mendahului pasukan negara 21–0 hasil daripada tiga penalti, satu try dan satu penalti try.

Hanya selepas ketinggalan 0–28, barulah pasukan negara mendapat rentak dengan menghasilkan satu try yang berkualiti tinggi, bermula daripada gerakan ‘line-out’. Conversion dan satu lagi penalti membolehkan kedudukan mata dirapatkan, cuma kehilangan fokus pada minit–minit akhir membolehkan Korea mendapat satu gol bagi menamatkan saingan dengan kemenangan 35–10.

Perjuangan pasukan negara baru bermula dalam divisyen Premier, tetapi cabaran lebih besar menanti di depan dengan pertemuan menentang Hong Kong pada 5 Mei ini selain perlawanan ulangan di Incheon pada 19 Mei dan Hong Kong, 26 Mei.

Andai menang, Malaysia belum boleh lagi bergembira kerana wakil Ocenia, Tahiti, pula menanti dalam pusingan play-off. Itulah liku perjalanan yang perlu dilalui sebelum dapat beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia di Jepun pada 2019 nanti.   

Sementara itu, sempena cabaran yang menanti pada tanggal 5 Mei nanti, skuad negara perlu kembali ke 'papan percaturan' bagi mengatur strategi dan Nyuk Fah perlu menekankan kepada pemain negara bukan sekadar turun dengan semangat yang tinggi sahaja, tetapi mereka juga kena bijak menentang pasukan lawan.





 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen