Rafiq azam bangkit

Oleh Haliiza Hamzah 13 June 2019 344
Rafiq azam bangkit
Jaguh tenpin bowling negara, Rafiq Ismail, terus melaung nada yakin mampu memberikan aksi terbaik menghadapi tiga kejohanan selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Rafiq terpaksa akur mengakhiri saingan di Terbuka Malaysia di tempat yang ke-20 atas beberapa kesukaran yang dihadapi.

“Saya kurang berpuas hati dengan prestasi sendiri, banyak kesukaran dari segi perubahan laluan di mana saya sedikit lambat memahaminya tetapi saya percaya ianya proses pembelajaran baru untuk saya gunakan pada kejohanan yang akan datang” katanya.

Namun, atlet berusia 21 tahun itu tidak mudah putus asa, malah bersemangat untuk bangkit dalam tiga kejohanan penting yang akan berlangsung iaitu Terbuka Singapura, Masters Final Jelajah Eropah dan Cabaran Madrid Brunswick.

Selain cabaran menyesuaikan diri dengan pertukaran lorong dan peralatan pada setiap kejohanan, Rafiq dilihat mempunyai strategi tersendiri untuk segera mengatasi cabaran tersebut.

“Saya ada berbincang dengan jurulatih, beliau menasihati saya agar memperbaiki cara pengawalan balingan bola saya” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 ini berharap dapat mempamer prestasi cemerlang dan terpilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan di Sukan SEA Filipina November nanti,

Cabaran terbaru bagi skuad kebangsaan untuk Sukan SEA 2019, adalah untuk merebut empat slot yang ditawarkan berbanding enam sebelum ini.

“Saya yakin mampu menjadi salah seorang daripada empat pemain terbaik negara untuk mewakili Malaysia dan mampu memberi pingat buat negara.” tambahnya lagi.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen