Pemergian Emery bukan satu kejutan

Oleh Thani Hasbullah 28 April 2018 1149
Pemergian Emery bukan satu kejutan
Reputasi besar sebagai jurulatih yang membawa tiga gelaran Liga Europa belum cukup untuk Unai Emery membantu Paris St-Germain (PSG) meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh dua tahunnya di kelab Paris itu.

Ketika di Sevilla, Emery membantu kelab itu meraih trofi Liga Europa untuk tiga tahun berturut-turut sebelum tiba di PSG pada Jun 2016.

Kedatangannya ke Paris nyata hanya untuk satu misi, iaitu 'projek Eropah' di mana ia turut melibatkan pemain termahal dunia, Neymar, yang tiba kira-kira setahun selepas itu.

Tetapi misi itu ternyata gagal selepas membuat dua percubaan, dengan kedua-duanya dimusnahkan oleh kelab Sepanyol, Barcelona (2017) dan Real Madrid (2018) dalam pusingan 16.

Sungguhpun berjaya membawakan gelaran Ligue 1 kembali ke dakapan PSG pada musim ini, ia seperti sudah tidak boleh mengubati kekecewaan Emery yang sedar pasukannya begitu mendambakan kejayaan di pentas Eropah selepas mendapat pembiayaan besar daripada pemilik, Qatar Sports Investments.

Begitulah sedikit-sebanyak kisah jurulatih kelahiran Sepanyol itu yang tidak bernasib baik seperti pengurus terdahulu, Laurent Blanc.

Apabila misi tunggal itu gagal, hari ini Emery tampil megesahkan bahawa dia akan meninggalkan PSG pada akhir musim ini.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang pertembungan di antara PSG dan Guingamp, Isnin ini, Emery berkata: "Saya sudah bercakap tentang pemergian saya kepada pemain.

"Saya berterima kasih kepada presiden, Nasser Al-Khelaifi; pengarah sukan, Antero Henrique, penyokong dan pemain untuk dua musim lalu."

Jadi, pemergian Emery bukanlah satu kejutan besar walaupun penulis mengakui ramai tidak menyangka ia begitu pantas diputuskannya.

Malah, sebelum pengumuman itu dibuat, sudah timbul khabar angin sejak beberapa minggu lalu yang mendakwa dia akan dipecat bagi digantikan dengan bekas bos Borussia Dortmund, Thomas Tuchel.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen