Pemain ke-12 jadi suntikan semangat buat Harimau Malaya

Oleh Azlan Mubin 13 November 2019 599
Pemain ke-12 jadi suntikan semangat buat Harimau Malaya
Pertembungan Malaysia dan Thailand dalam aksi Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium National, Bukit Jalil malam esok mungkin menjadi talian hayat terakhir jika mahu mengintai peluang mara lebih jauh dan yang lebih penting layak ke Piala Asia 2023.

Jika menang, ia pasti akan memberikan suntikan semangat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk memastikan kemenangan berikutnya terhasil ketika berdepan Indonesia, Selasa ini.

Namun, di atas kertas, jurang perbezaan kedua-dua pasukan begitu ketara. Berdasarkan ranking, Thailand berkedudukan lebih baik di tangga ke-109 dunia manakala pasukan negara di ranking ke-159 dunia dalam senarai yang dikeluarkan FIFA.

Jika diambil kira keputusan dan prestasi terkini, ia juga akan memihak kepada pasukan Gajah Perang itu kerana selepas mengharungi tiga perlawanan, Thailand seri sekali dan menang dua perlawanan berikutnya. Skuad Harimau Malaya pula bermula baik dengan kemenangan tipis ke atas Indonesia 3-2, namun tunduk dalam dua perlawanan berikutnya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Kesimpulannya, sebelum sepak mula nyata memberikan kelebihan buat Thailand tetapi dalam bola sepak, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Menyedari hakikat itu, Cheng Hoe ada resipi untuk mengatur strategi terbaik dan yang lebih penting, setiap pemain perlu merealisasikannya dengan kemenangan.

Selain itu, saya melihat antara faktor utama yang akan memberikan suntikan semangat buat pemain ialah penonton.

Penyokong pasukan negara perlu mengambil kesempatan ini untuk hadir memenuhi ruang Stadium Nasional sebagai tanda kesetiaan dan penyuntik semangat kepada pasukan.

Lebih-lebih lagi, pasukan lawan sememangnya serius untuk menewaskan pasukan negara.
Pelbagai helah dilancarkan untuk memberikan tekanan buat pemain negara.

Perang psikologi bermula apabila heboh diperkatakan, jika menang ke atas Malaysia, kesemua staf dan pemain Thailand akan menerima AS$263,000 (RM1.08 juta) menurut sumber daripada Siam Sport. Diikuti dengan larangan media Malaysia membuat liputan ketika latihan pasukan Thailand.

Situasi itu, saya percaya skuad kendalian Tan Cheng Hoe sudah masak dan mampu menyerap tekanannya. Namun, sokongan moral, terutama daripada penyokong, pasti setidak-tidaknya akan melonjakkan semangat serta membantu pasukan negara untuk tampil lebih bergaya.

Jadi, buat kesemua pemain ke-12, ayuh kita penuhkan ruang stadium dan berikan sokongan padu agar pasukan kesayangan negara, skuad Harimau Malaya, mampu mengaum garang, sekali gus menundukkan skuad Gajah Perang itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen