Nyaris bertumbuk dengan Harris

Oleh Rizal Hashim 29 November 2017 195
Nyaris bertumbuk dengan Harris
FORMAT pertandingan kelayakan bola sepak peringkat senior anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti pra-Piala Dunia, pra-Piala Asia dan pra-Olimpik sedekad yang lalu berbeza dengan sedia ada sekarang.

Misalnya, Hong Kong menjadi venue pertandingan pra-Olimpik 1999 membabitkan Jepun, Malaysia, tuan rumah, Filipina dan Nepal, disusuli empat lagi perlawanan di negara Matahari Terbit.

Bagi pra-Piala Dunia 2001 pula, Hong Kong diundi menjadi tuan rumah pusingan pertama membabitkan Malaysia, Qatar dan Palestin, manakala Doha gelanggang kedua.  Format gelanggang sendiri dan tempat lawan hanya dilaksanakan pada dekad pertama 2000-an.

Lazimnya, syarikat akhbar tidak mengirim wakil masing-masing untuk kedua-dua venue, sebaliknya membuat keputusan berdasarkan keputusan pasukan negara pada pusingan awal.

Disebabkan Malaysia tewas 5-1 kepada Qatar, bangkit menewaskan Hong Kong 2-0 tetapi  tewas mengejut kepada Palestin 1-0 sekalipun mendominasi permainan pada pra-Piala Dunia 2001, The Malay Mail memutuskan tidak menghantar sesiapa ke Doha.

Di Hong Kong, Berita Harian diwakili Ahmad Khawari Isa, manakala The New Straits Times S. Selvam, ditemani Azahar Md Taib dari Harian Metro, manakala Utusan Malaysia diwakili Jailani Abdullah. Kesemuanya tidak dikirim ke Doha. 



Bagi penulis yang berpegang kepada pepatah alang-alang menyeluk pekasam, biar ke pangkal lengan, tiada pilihan lain kecuali pergi ke Doha atas tiket sendiri.

Cumanya, tiada bilik yang ditempah, mengharap ehsan pegawai-pegawai pasukan negara.

Setibanya di hotel penginapan pasukan, kebetulan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan berada di lobi ditemani pegawai keselamatan, Allahyarham DSP Jamaluddin Khalid (kemudian Datuk).

Dengan muka tak malu, penulis meminta menumpang bilik mana-mana pegawai barang dua tiga hari. Maklumlah, tiket kapal terbang pun ditanggung sendiri.

Dell selamba menjawab “kau boleh tidur kat kolam renang lah” disambut gelak Jamaluddin.

Sudahnya, pentadbir pasukan, Saifuddin Abu Bakar, yang kini menjadi perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Oman selepas menjawat tugas timbalan ketua jabatan pertandingan Qatar Stars League, membuka pintu biliknya sambil berkain pelikat.

Selain membuat liputan anak didik Allan Harris mengikat Qatar tanpa jaringan, tewas 2-1 kepada Hong Kong dan menewaskan Palestin 4-3, penulis menemu bual Abbas Al-Mousawi, ketua urusetia antarabangsa Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Doha (Dagoc) sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Doha 2006.

Beberapa siri artikel yang penulis tulis untuk The Malay Mail dan Sunday Mail dijadikan tuntutan sebagai mendapatkan pulangan atas perbelanjaan sendiri ke Doha.  

Untuk pulang ke Kuala Lumpur, pesawat yang kami naiki berlepas dari Doha dan singgah di Lapangan Terbang Abu Dhabi.

Di situlah berlaku perselisihan faham apabila kem negara, termasuk Harris menaruh prasangka terhadap penulis, kononnya penulis mendedahkan beberapa kisah di Doha kepada wartawan sebuah akhbar.

Penulis menafikan tuduhan itu, sambil meninggikan suara ke arah Harris, “adakah anda mempersoalkan integriti saya,” sambil membeliakkan mata kepada jurulatih itu. Harris membalas “tidakkah anda tahu saya anak Brixton, tempat samseng”, sambil disaksikan penolongnya, B. Sathianathan.

Ketika kami bersedia bersingsing lengan, Dell yang ketika itu Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Jamaluddin pantas meleraikan kami. Kami dipisahkan jauh-jauh.  

Dell menasihatkan agar lupakan sahaja insiden itu, kerana penulis juga bersalah dari sudut undang-undang kerana mengugut Harris.

Jamaluddin juga kemudian mengingatkan penulis “jaga sikit mulut tu”.

Mengenang detik di Hong Kong, Saifuddin teringat kisah penggera bilik Harris berbunyi dan kakitangan hotel berkejar ke biliknya, tetapi beliau keluar dengan tenang. Rupa-rupanya mendiang hisap curut. Ikan emas dalam balang di biliknya juga mati.

Saifuddin juga tidak lupa insiden di lapangan terbang Abu Dhabi.

“Mujur awak tidak masuk lokap lapangan terbang Abu Dhabi,” katanya.

Turut menjadi saksi insiden itu ahli fisioterapi S. Sivanasvaran dan beberapa pemain senior yang berlegar di sudut sama.

Namun insiden itu tidak mencerminkan perhubungan intim di antara penulis dan Harris.

BAHAGIAN SETERUSNYA:
HARRIS SEORANG BUDIMAN

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen