Nasser Al-Khelaifi, diktator bola sepak moden

Oleh Nafis Abdullah 25 March 2018 12357
Nasser Al-Khelaifi, diktator bola sepak moden
Florentino Perez merupakan sebuah nama yang tidak asing dalam dunia bola sepak. Sejak memegang jawatan selaku Presiden Real Madrid, dia dikenali dengan perwatakan individu yang berkeinginan tinggi dalam mencapai setiap kejayaan.
 
Cita-cita besar yang dimilikinya membuatkan senarai lima pengurus yang dilantik oleh Los Blancos sejak ketibaan Perez pada 1 Mei 2009 bukan sesuatu yang memeranjatkan semua pihak. Setiap kegagalan pasti akan disusuli dengan berita pertukaran pengendali buat Madrid dan kini, gaya ala diktator Perez mungkin sedang diikuti pemilik Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi.
 

 
Sejak memegang saham terbesar pasukan gergasi Paris itu pada 2011, Nasser segera mendapatkan khidmat pengurus yang telah terbukti kemampuannya di peringkat domestik (di Itali dan England) serta pentas Eropah, Carlo Ancelotti.
 
Khidmat Ancelotti bersama PSG hanya bertahan selama dua tahun sebelum digantikan legenda Perancis, Laurent Blanc, dari tahun 2013 sehingga 2016. Lima tahun di bawah kendalian Ancelotti dan Blanc, PSG merasai nikmat menjulang setiap piala yang ditawarkan kecuali trofi idaman setiap pasukan di Eropah, Liga Juara-Juara. 

Situasi itu membuatkan Nasser tidak menoleh ke belakang pada 2016 apabila mendapatkan khidmat bekas pengurus Sevilla, Unai Emery.  Kejayaan membawa Los Rojiblancos menjulang trofi Liga Europa selama tiga tahun berturut-turut sejak 2014 serta status pengendali terbaik Eropah pada tahun tersebut membuatkan Nasser yakin bahawa kali ini, dia melakukan keputusan tepat.
 

 
Malangnya, langkah itu tampak tetap gagal menamatkan pencarian trofi Liga Juara-Juara yang diidamkan. Bahkan, musim pertamanya di Paris menyaksikan PSG gagal mempertahankan gelaran Ligue 1 buat pertama kali selepas mendominasi liga Perancis selama empat tahun, menyaksikan Les Parisiens sekadar meraih Piala Liga dan Piala Perancis bagi musim 2016/17.
 
Pengurus terbaik sudah dimiliki, begitu juga dengan kelompok bintang bola sepak yang memenuhi senarai pemain PSG seperti Thiago Silva, Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Marco Verratti tetapi kejayaan di Eropah tetap tidak dapat dicapai, yang membuat Nasser mencuba formula baru.
 
Musim 2017/18 menyaksikan PSG memecahkan rekod dunia untuk berbelanja ke atas pemain sensasi Brazil, Neymar, serta mendapatkan pemenang Anugerah Golden Boy pada tahun lalu, Kylian Mbappe, secara pinjaman. Jika mengambil kira harga Mbappe apabila berhijrah ke Parc Des Princes dari Monaco secara tetap pada musim berikutnya, kos untuk meraih khidmat kedua-dua pemain itu mencecah GBP316 juta (RM1.749 bilion)!
 
Hasilnya, PSG tetap terkandas dalam usaha mengejar status pasukan terbaik Liga Juara-Juara apabila tunduk di tangan Los Blancos di peringkat 16 terakhir, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa Nasser mula berputus asa dengan kudrat dan kebolehan Emery. Dalam masa sama, masa depan Neymar di Perancis juga tampak menjadi persoalan kerana gagal menyempurnakan mimpi indah jutawan dari Qatar itu.
 

 
Baru-baru ini, pertahanan PSG yang mewakili skuad kebangsaan Belgium, Thomas Meunier, mendedahkan bahawa banyak perubahan akan berlaku kepada Les Parisiens pada musim depan, termasuk pertukaran pengurus sehingga menimbulkan persoalan siapa individu yang bakal menduduki kerusi panas di Paris jika kontrak Emery yang bakal tamat pada hujung musim ini tidak diperbaharui?
 
Sebelum ini, beberapa nama besar telah dikaitkan untuk ke Perancis bagi mengemudi kem PSG seperti Antonio Conte, Jose Mourinho dan Massimiliano Allegri. Namun, apa yang pasti, jika benar Emery disingkirkan, ia menjadi bukti mudah bahawa Nasser secara perlahan-lahan telah mengikuti jejak langkah ala diktator yang ditunjukkan Perez kerana satu alasan, tidak sabar.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen