Musim  pusingan-U

Oleh Bazly Azmi 10 November 2019 828
Musim  pusingan-U
Sepanjang membuat liputan kempen Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), edisi ke-66 pada 16 November ini paling panas.

Sama ada dakwaan beberapa individu mengenai masalah urus tadbir KHM hingga calon Presiden, Datuk Kamaruddin Meranon, tidak cukup minimum tiga pencalonan, isu rombongan ke London dan penarikan diri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Ia mencerminkan perpecahan KHM walaupun ia hanya membabitkan 3/16 ahli gabungan.

Lebih menarik, beberapa individu yang mengkritik tindakan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, dan Timbalan, Datuk Dr S. Shamala, kerana buat pusingan-U selepas mengumumkan akan letak jawatan jika Malaysia gagal ke Sukan Olimpik - turut melakukan perkara sama.

Naib Presiden, Datuk Manjit Majid Abdullah, minggu lalu mengumumkan empat individu daripada pasukannya akan menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan proses pencalonan.

Tindakan itu sebagai tanda protes demi menjaga kredibiliti sukan hoki.

Tetapi beberapa hari kemudian, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra, mengumumkan semua mereka tetap bertanding selepas semua borang penarikan diri dihantar melalui surat atau e-mel.

Ia membabitkan jawatan timbalan presiden wanita dan naib presiden.

Saya terkejut kerana fikir, mereka benar-benar menarik diri.

Nampaknya, ramai buat pusingan-U tetapi kem A enggan pula mengkritik mereka.

Apapun, Subahan perlu bersiap-sedia dengan pelan membaik pulih skuad kebangsaan selepas menang tanpa bertanding jawatan presiden KHM untuk penggal kedua berturut-turut.

KHM umpama satu keluarga, adik-beradik tidak begitu ramai.

Kita berbeza pendapat hari ini tetapi esok, kita akan duduk sebaris menyanyikan Negaraku ketika Malaysia menaiki podium.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen