Mesin gol muda  

Oleh Nafis Abdullah 24 April 2018 10957
Mesin gol muda  
Di pentas bola sepak Eropah ketika ini, boleh dikatakan hampir semua peminat di seluruh dunia tentunya sedang berbicara tentang Liverpool, AS Roma, Bayern Munich dan Real Madrid kerana keempat-empat pasukan ini bakal berentap dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/18.

Begitu juga dengan saingan Liga Europa, di mana hanya kelibat Arsenal, Atletico Madrid, RB Salzburg dan Olympique Marseille yang menjadi bualan hangat ekoran kejayaan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di pentas kedua terbesar Eropah musim ini.

Bagaimanapun, terdapat sebuah pasukan yang menunjukkan prospek besar di sebalik pertaruhan menggunakan jentera muda di bahagian serangan, iaitu Olympique Lyon.

Mariano Diaz, Nabil Fekir, Memphis Depay dan Bertrand Traore telah mencipta satu lembaran baru buat Les Gones pada musim ini walaupun mereka mencatatkan purata 23.5 tahun, sekali gus muncul sebagai gandingan serangan termuda di pentas lima liga utama Eropah.



Depay muncul sebagai penjaring terbanyak dan pemain terbaik tahunan Liga Eredivisie Belanda pada musim 2014/15 sebelum berhijrah ke Old Trafford, namun terpaksa meninggalkan Manchester United selepas 18 bulan tanpa sebarang impak buat The Red Devils.

Sejak tiba di Perancis, pemain sayap skuad Oranje itu pantas menyesuaikan diri dan hasilnya, dia menjaringkan 15 gol di pentas Ligue 1 pada musim ini buat Lyon. Perancangan Bruno Genesio yang meletakkan Depay dan Traore di sayap pasukan jelas menjadi dengan ledakan 25 gol dalam liga.

Sementara itu, Mariano, pemain yang gagal menambat hati Zinedine Zidane sehingga terpaksa dilepaskan dari Real Madrid pada musim panas lalu, membuktikan bahawa dia adalah watak yang dirindukan oleh Los Blancos menerusi 18 gol di peringkat domestik bersama Les Gones.

Mariano jelas mampu menggalas tugas selaku peledak utama meskipun baru berusia 24 tahun.



Tatkala Arsenal, Tottenham Hotspur dan Madrid sendiri dilapor mengidamkan kebijaksanaan Fekir di atas padang, dia terus menampilkan aksi konsisten dalam tempoh keduanya bersama Lyon sejak kembali ke Groupama pada 2011. 

Musim ini, Fekir mencipta 17 gol, sekali gus muncul antara perancang tengah dengan jaringan gol tertinggi pada musim ini di Eropah.

Apa yang menarik, laluan Lyon dalam saingan liga domestik pada musim ini jelas menunjukkan sumbangan besar keempat-empat bintang muda ini. Buktinya, 60 daripada 77 gol yang diraih Les Gones setakat ini adalah hasil daripada ketajaman Traore, Depay, Mariano dan Fekir di depan gol.

Walaupun skuad bimbingan Genesio sekadar menduduki tangga ketiga liga ketika ini, mereka dilihat masih berpeluang untuk menamatkan saingan Ligue 1 selaku naib juara setelah hanya dibezakan dengan satu mata berbanding pasukan tangga kedua, AS Monaco. 



Tidak kira dimana pengakhiran Lyon bagi kempen 2017/18 ini, statistik yang diraih memberikan sinar baru buat mereka yang hanya mempertaruhkan wira muda di depan gawang. 

Jika tiada kelab Eropah yang berjaya mendapatkan khidmat salah seorang daripada empat pemain di atas, sudah pasti saingan musim depan menjadi lebih kompetitif buat Lyon.

Buat Fekir, Mariano, Depay dan Traore, teruskan kecemerlangan anda di depan kubu lawan, wahai mesin muda!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen