Masihkah Pogba terus didendang di Old Trafford?

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2019 964
Masihkah Pogba terus didendang di Old Trafford?
Ole Gunnar Solskjaer seperti beransur-ansur untuk tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap tonggak termahal Manchester United bernilai £89.3 juta (RM471.5j), Paul Pogba.

Kecederaan pergelangan kaki telah membelenggunya sejak September lalu dan perkembangan terbaru, ia akan berlarutan sehingga awal bulan depan.

Walaupun tiada siapa yang boleh menyangkal pemain tengah berpengaruh itu akan terus menjadi susuk yang dirindui di Old Trafford, faktor kecederaan membuka peluang kepada pemain lain untuk diketengahkan.

Setakat ini dan buat seketika, kelibatnya tidak begitu dirindui apabila pemain kelahiran Brazil yang kurang dipedulikan sebelum ini, Fred, semakin selesa digandingkan dengan Scott McTominay.



Sejak seri 1-1 dengan Liverpool pada 20 Oktober lalu, The Red Devils mencatat tiga kemenangan berturut-turut sebelum tumpuan itu pudar di tangan Bournemouth akibat kekalahan 0-1.

Sungguhpun bukan aksi memukau yang disajikan, namun kedua-keduanya memberikan kestabilan di bahagian tengah untuk menampung ketiadaan pemenang Piala Dunia itu walaupun statistik premierleague.com musim lalu lebih menjurus ke arah Pogba.

Ini dibuktikan apabila di sebalik kekeruhan hubungannya dengan bekas pengurus, Jose Mourinho, tonggak Perancis berkenaan muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 13 gol selain bantuan jaringan, pencipta peluang terbaik, hantaran berbahaya dan lolos.

Jadi, tidak hairanlah dia terus menjadi buah mulut dalam pasaran dengan bekas kelab, Juventus, serta Real Madrid begitu mengidamkan khidmatnya.

Dia dijangka bakal terlepas pertemuan Tottenham dan Manchester City awal bulan depan, namun sedang dipersiapkan untuk mengharungi jadual sibuk pada perayaan Krismas dengan skuad bimbingan Solskjaer berpeluang untuk memburu mata maksimum ketika bertemu Watford selain perhitungan dengan Newcastle United, Burnley dan Arsenal dalam tempoh 10 hari bagi mencerahkan peluang kembali ke Liga Juara-Juara.

Ketika jendela perpindahan musim sejuk semakin mendekati, barangkali dalam diam-diam, Solskjaer sudah bersedia untuk kehilangan pemain harapannya berkenaan seawal itu dalam mencari kestabilan di atas padang mahupun di bilik persalinannya.

Bukankah laungan 'nobody is bigger than club' juga sebahagian daripada terma falsafah Manchester United seperti mana yang dibuktikan ketika penjualan David Beckham dan lain-lain?
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen