Mampukah Wenger buat Guardiola menanti lebih lama?   

Oleh Shaiful Shamsudin 25 February 2018 893
Mampukah Wenger buat Guardiola menanti lebih lama?   
Selagi belum mengucup sebarang trofi dalam kancah bola sepak Inggeris, Pep Guardiola belum boleh mendabik dada sebagai pengendali terbaik era ini. 
 
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu menikmati limpahan kejayaan dalam perlawanan akhir -- sembilan daripada 10 percubaannya berakhir dengan kegembiraan. 
 
Dia kini boleh berbangga dengan dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL), Copa del Rey dan DFB-Pokal.
 
Bagaimanapun, ramai yang meragui kemampuannya untuk mengulangi magisnya di England pula. 
 
Bola sepak Inggeris terbukti tidak menjanjikan kejayaan segera apabila kempen sulungnya musim lalu berakhir dengan tangan kosong -- pertama kali berlaku sejak diperkenalkan sebagai jurulatih Barca pada 2008. 
 
Tengah malam ini di Stadium Wembley (12.30 tengah malam waktu Malaysia), dia berpeluang menjulang trofi pertamanya, Piala Liga Inggeris (EFL), dengan syarat The Citizens perlu menidakkan cabaran The Gunners. 
 
Guardiola sedar selepas berbelanja £448 juta (RM2.4 bilion) dengan separuh daripadanya digunakan untuk menguatkan benteng, dia perlu meletakkan keutamaan untuk membawa trofi ke Stadium Emirates berbanding memperagakan permainan menarik. 
 
Dengan kelebihan 15 mata di puncak, gelaran Liga Perdana hampir pasti dimiliki kerana hanya perlu memenangi enam perlawanan lagi daripada berbaki 11. 
 
Namun, dia tidak boleh memandang mudah cabaran yang dihadirkan Arsenal.
 
Apatah lagi, baik Guardiola mahupun Arsene Wenger, memiliki ego tinggi terhadap falsafah tersendiri, padahal kedua-duanya cenderung kepada permainan hantaran pendek. 
 
Kelab London itu memiliki rekod baik di Stadium Wembley dengan memenangi tiga daripada empat perlawanan penentuan Piala FA serta bertanggungjawab menyingkirkan City dalam separuh akhir musim lalu. 
 
Maka, tidak hairanlah mengapa rakan sejawatannya di Arsenal itu begitu lantang menafikan pengurus berusia 47 tahun itu telah mencetuskan gelombang baru dengan menganggap ia disebabkan sokongan kewangan. 
 
Malah, gawang City bukanlah kebal memandangkan hanya merekodkan tiga kemenangan bersih dalam 12 perlawanan terakhir. 
 
"Anda harus menerima hakikat bahawa permainan moden telah berubah dengan pembelian pemain terbaik dalam masa yang singkat," kata Wenger yang mula mengendali Arsenal pada 1996. 
 
Guardiola tetap Guardiola. Dia juga tidak mahu tunduk kepada tekanan Wenger dengan cuba bermain akal apabila mendedahkan akan menerapkan corak perlawanan persahabatan. 
 
"Saya fikir ini kita perlu cuba menikmati satu permainan yang terbaik, ini adalah perlawanan akhir, kami berada di sini untuk bermain jenis permainan ini, kenapa perlu berasa gemuruh?
 
“Mengapa perlu bimbang untuk menang, menang, menang?" soal pengurus kelahiran Catalunya itu yang bertegas akan memakai reben kuning yang berunsurkan sokongan politik biarpun sudah berdepan pertuduhan penganjur liga, malah difahamkan penyokong City akan turut mengenakannya dalam final nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen