Malaysian Tigers perlukan keajaiban

Oleh Mirnawan Nawawi 30 November 2018 6515
Malaysian Tigers perlukan keajaiban
Realistiknya amat sukar untuk skuad hoki negara memungut tiga mata ke atas Belanda dalam perlawanan pertama Kumpulan D Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada Sabtu ini.

Belanda adalah salah satu powerhouse hoki di benua Eropah dan juga dunia berdasarkan pelbagai pencapaian membanggakan dalam kejohanan-kejohanan disertai.

Pasukan ranking keempat dunia ini adalah naib juara Piala Dunia 2014 selain tidak pernah gagal bertanding di pentas berprestij dunia itu sejak penganjuran kali pertama di Barcelona, Sepanyol pada 1971.

Belanda yang merupakan juara bertahan benua Eropah ini sudah tiga kali pernah menjulang trofi Piala Dunia bermula 1973, 1990 dan 1998 dan tiga kali juga berjaya memenangi tempat kedua pada 1978, 1994 serta 2014.

Lebih menakjubkan, Belanda tidak pernah gagal melangkah ke suku akhir Piala Dunia kecuali satu edisi sahaja di Kuala Lumpur pada 1975 yang menyaksikan mereka sekadar menduduki tempat kesembilan daripada keseluruhan 12 pasukan.

Atas kertas, sememangnya satu perlawanan yang amat sukar bakal dihadapi skuad negara kerana secara jujurnya, tiada seorang pun mempercayai keputusan tidak akan memihak kepada Belanda.

Menghadiahkan pukulan sudut penalti atau layangan kad yang tidak sepatutnya akan memudaratkan skuad negara kerana Belanda pastinya mengambil kesempatan untuk menghukum setiap kesilapan mudah tersebut.

Ranking ketiga dunia iaitu Belgium yang juga salah satu gergasi Eropah pun kalah kepada Belanda dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum kempen Piala Dunia 2018 bermula baru-baru ini.

Malah, Belanda pernah membelasah pasukan No. 10 dunia, Ireland sebanyak dua kali dalam satu kejohanan empat penjuru yang turut disertai England dan Sepanyol awal bulan ini.

Saya berharap sesuatu mampu diraih dan barisan pemain perlu mempamerkan prestasi ditahap Terbaik supaya dapat memberikan tentangan sengit kepada Belanda walau apa jua keputusan ya nanti.

Tonggak-tonggak senior dan berpengalaman seperti S. Kumar, Shukri Mutalib, Razie Rahim, Faisal Saari serta beberapa lagi perlu memainkan peranan memimpin pemain-pemain muda agar Belanda tidak mendapat perlawanan yang mudah untuk menjinakkan skuad negara.

Pernah berlaku, skuad negara langsung tidak diberikan sebarang harapan tetapi berjaya seri 0-0 dengan Belanda dalam aksi peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia walaupun akhirnya merekalah yang memenangi Pingat Emas.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen