Lupakan MOM, Hamidin

Oleh Rizal Hashim 12 March 2018 18993
Lupakan MOM, Hamidin
DALAM sejarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM), seorang penjawat tugas persatuan yang bergaji tidak pernah menganggotai barisan kepimpinan tertinggi badan payung itu.

Sebab itu apabila nama setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, disebut-sebut sebagai calon untuk timbalan presiden MOM pada mesyuarat pemilihan akan datang, penulis hanya tersenyum sinis.

Bagi pemerhati yang intim dengan perkembangan sukan tempatan, tentunya spekulasi Hamidin dikaitkan dengan pertandingan kerusi timbalan presiden tidak masuk akal. 

Sama ada ia sebahagian daripada agenda untuk menghangatkan saingan bertujuan memecah undi atau tidak, Hamidin tidak wajar dicalonkan untuk kerusi No 2 di MOM.

Benar, dalam Perlembagaan MOM, tidak menyebut bahawa mana-mana pemegang jawatan yang dicalonkan atau terpilih mestilah dalam kalangan sukarelawan. Ia tidak menghalang seseorang yang bergaji dalam persatuan sukan kebangsaan untuk memegang mana-mana jawatan dalam MOM.

Status terbuka ini memberi ruang kepada Datuk Seri Norza Zakaria yang memegang empat  jawatan – Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), timbalan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bendahari FAM (dilantik dan khabarnya dibayar elaun) – terpilih sebagai timbalan presiden MOM untuk sesi 2015-2017.

Namun MOM tidak wajar memulakan satu trend yang tidak sihat.

Hamidin harus fokus kepada tugas memastikan visi dan misi Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim selaku presiden FAM dan FMLLP direalisasikan. 

Usah kita bandingkan cabaran hari ini dengan era ketika Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah (pengerusi MOM (1970-76) dan presiden MOM (1976-98) yang memegang jawatan selaku Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FAM sekali gus satu ketika dahulu.  

Era itu menuntut sukan diterajui individu berpengaruh dalam kalangan pemerintah dan masyarakat untuk memberi lonjakan saujana dari sudut pemikiran dan kewangan. Lagipun Hamzah bukan kakitangan bergaji untuk mana-mana persatuan, sebaliknya menjadi anggota Jemaah Menteri.  

Cuba kaji barisan kepimpinan MOM 2015-2017, tiada seorang pun dalam kalangan anggota kabinet badan payung itu yang bekerja dalam mana-mana persatuan sukan secara sepenuh masa, sebaliknya mereka memegang jawatan secara sukarela.

Tan Sri Dr Ibrahim Saad menjawat kerusi Naib Presiden untuk satu penggal selepas meletak jawatan selaku Setiausaha Agung FAM pada 2007. 

Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang menjadi presiden MOM kelima selepas menewaskan Hamzah 66-36 pada 1998, mengumumkan mengosongkan kerusi empuknya untuk diserahkan kepada Norza yang baru menjadi timbalan pada 2015.
Sejauh ini Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi – setiausaha kewangan Persatuan Kriket Melayu Malaysia dan bekas timbalan presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) – menyatakan hasrat bertanding jawatan No 2 di MOM. Beliau yang juga Pengerusi ISN dilantik mengetuai kontinjen negara ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang Ogos nanti.

Turut menyatakan kesediaan bertanding ialah naib presiden MOM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), manakala Datuk Nazifuddin Najib dijangka mengalih tumpuan ke arah melawan Datuk Low Beng Choo untuk kerusi Setiausaha Agung MOM.
ends
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen