Liverpool juara Eropah 2005 – satu sorotan (6)

Oleh Asmawi Bakiri 25 May 2018 754
Liverpool juara Eropah 2005 – satu sorotan (6)
SESUDAH PERLAWANAN
 
FM Ketika meninggalkan stadium, keadaannya gelap-gelita. Saya kehilangan semua orang. Salah satu kumpulan dirompak. Seorang lagi hilang kamera dan pasportnya. Saya menunggu di pintu keluar dan menahan sebuah bas.
 
Kemudian setiba di hotel, saya mendapat panggilan seorang rakan yang terkandas. Saya terpaksa menggunakan seorang petugas hotel untuk bercakap dengan pemandu teksi yang dinaiki rakan saya itu untuk membawanya ke hotel kami.
 
Di lapangan terbang, keadaan adalah huru-hara. Penerbangan berlepas seperti bas. Pesawat yang saya naiki mendarat di Bristol. Saya tidak kisah pun. Saya seterusnya menaiki keretapi ke Liverpool.
 
FC Kami terus menaiki bas apabila penalti terakhir menerjah masuk – kepala ditundukkan dan tiada siapa yang berkata apa-apa. Ketika di dalam bas, sesetengah penyokong menyalahkan pemain, sesetengah yang lain menyalahkan Ancelotti. Seorang penyokong mempersalahkan Dida tapi cuma dia seorang. Saya hanya duduk berdiam diri. Berdiam diri sepenuhnya.
 
JG Di lapangan terbang, mereka mengadakan disko dalam sebuah khemah. Ia benar-benar mengarut. Semua orang berasa resah dengan kelewatan penerbangan tapi apabila ada sesiapa yang mula membuat bising, DJ akan memainkan lagu You’ll Never Walk Alone dan semua mereka mula menyanyikannya beramai-ramai.
 
OP Suasana di Lapangan Terbang Ataturk adalah huru-hara. Pada akhirnya, penerbangan kami berlepas lewat sembilan jam. Ketika kelewatan itu, pasukan (AC Milan) turut melintas – kesemua mereka mengenakan selubung kepala daripada pakaian trek masing-masing untuk menutupi muka.
 
Penyokong Rossoneri yang penat dan kecewa mula mempersendakan pasukan. “Pergilah kerja!”; “Malulah Kamu Semua!” Seorang daripada mereka meneriakkan: “Saya terpaksa berhutang untuk ke sini” – dan Paolo Maldini menjawab: “Kamu sepatutnya tinggal di rumah saja.”
 
Itu mengakhiri satu hubungan kasih-sayang. Paolo menyedarinya selepas perlawanan terakhirnya (pada 2009) ketika dia diejek dengan lantang di Curva Sud.
 
RH Semua orang keletihan di lapangan terbang. Mereka tidak pun minum arak. Sesetengah daripada mereka menghisap paip hookah. Jadual penerbangan boleh dilihat di mana-mana tapi tiada sesiapa di meja perkhidmatan pelanggan yang boleh bercakap bahasa Inggeris.
 
Kesudahannya, kami menaiki pesawat dan apa yang kekal bersama saya ialah baunya –
seperti yang pernah dikatakan Alan Partridge, “bau lelaki berhimpun.” Alkohol dan bau badan.

INGATAN TERAKHIR
 
LL Sepanjang masa saya sebagai penyokong Liverpool, tiada apa yang boleh menghampiri ini. Ia masih membuatkan bulu roma saya berdiri. Ia sempurna.
 
OP Selepas perlawanan, tiada pemain Rossoneri yang mahu bertukar jersi dengan pemain Liverpool kerana mereka telah memakai baju T ketika rehat separuh masa untuk merayakan ‘kejayaan’ mereka.
 
JG Saya telah menghadiri banyak perlawanan akhir, dari Rome 1977 dan seterusnya, dan tiada yang dapat mengatasi yang ini dari segi drama. Ia tidak masuk akal. Semuanya seakan-akan di luar realiti.
 
AC Ketika musim berikutnya bermula, kami tidak dibenar melupakan apa yang berlaku. Dalam perlawanan musuh setempat yang pertama, ramai penyokong Inter yang datang ke stadium dengan bendera dan skaf Liverpool.
 
FC Setahun berselang, pada 25 Mei secara tepat, penyokong Inter mengatur satu parti yang besar untuk meraikan ulangtahun final itu di sebuah pub di Milan. Beberapa penyokong Liverpool turut datang dan mereka tahu saya turut berada di Istanbul. Mereka tahu apa maknanya ia kepada saya dan mereka datang memeluk saya.
 
MR Seorang penulis tempatan ada mendengar cerita saya dan mengadaptasikannya untuk satu persembahan pentas. Pementasan itu sudah menjelajah ke UK dan Ireland, dan ia dipentaskan merentasi Skandinavia. Kini mereka akan mementaskannya di Itali. Saya turut diundang untuk menghadiri pementasan perdananya tapi saya tidak pasti akan pergi. Saya harus boleh menjangka akan bangun tidur dengan kepala kuda di atas katil saya…
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen