Lega Ah Hoe

Oleh Fina Nasrom 17 May 2019 36952
Lega Ah Hoe
Pertama kali aku rasa 'ok' melihat kepada senarai pemain pilihan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang bakal memulakan sesi latihan pada 27 Mei depan.

Ini adalah senarai paling seimbang sejak Cheng Hoe ambil alih skuad negara pada 2017.

Sudah pasti semua mata tertumpu kepada kelibat dua pemain berdarah campuran, Corbin Ong dari Johor Darul Ta'zim (JDT), dan Rodney Celvin Akwensivie dari skuad PKNS, yang bakal buat penampilan pertama bersama skuad negara.

Dengan kombinasi seorang lagi pemain berdarah campuran dari Pahang, Matthew Davies, pertahanan negara boleh dilabel sebagai perisai paling mantap dalam sejarah bola sepak negara merujuk kepada kredibiliti semasa pemain terlibat.

Empat pemain yang menjadi rebutan skuad Cheng Hoe dan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini, iaitu Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari, juga berada dalam senarai kem latihan skuad senior kali ini.

Inilah aset utama yang bakal dipertaruhkan Cheng Hoe untuk berhadapan Timor Leste bagi mencuri slot kelayakan ke Piala Dunia.

"Saya lega, 26 pemain yang disenaraikan adalah pilihan terbaik yang pernah saya ada setakat ini. Saya yakin kemampuan mereka untuk membantu Harimau Malaya," kata Cheng Hoe.

Bagaimanapun, kapten sensasi, Zaquan Adha Abdul Radzak, atau lebih di kenali sebagai 'Kapten Shark' gagal tembusi perhatian Cheng Hoe.

"Saya kecewa tetapi sebagai pemain negara, saya perlu akur kerana jurulatih negara tahu apa yang terbaik untuk pasukan," itu reaksi Zaquan.

Skuad negara bakal berhadapan Sri Lanka untuk aksi pemanas badan terlebih dahulu pada 2 Jun, sebelum ujian sebenar menanti di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 6 dan 11 Jun depan bertemu Timor Leste.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen